Wednesday, February 14, 2018

BERSELEHENG - DR MAHATHIR TIDAK BOLEH JADI PERDANA MENTERI?



Perkara berseleheng (bahasa Kelantan bermaksud tidak bersependapat atau krisis kecil) bukan satu kesalahan besar seperti menentang atau menderhaka kepada pemimpin.

Cumanya, tiada siapa boleh memberikan sebab sebenar apabila  berlakunya seleheng antara pihak tertentu.

Malah seleheng dikatakan punca pingat ditarik balik oleh pihak istana. Namun ini bukanlah suatu perkara yang boleh dianggap istimewa dan luar biasa.

Ada seseorang mengemukakan pertanyaan  “apakah masih viable dan feasible lagi hasrat Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menobatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri jika dapat menawan Putrajaya melalui pilihan raya, apabila pingat gelarannya ditarik balik?

Menurut yang sibertanya itu, “dalam keadaan pihak yang mempunyai budi bicara ke atas perlantikan ini telah memutuskan bahawa beliau (Dr Mahathir) “ada cukup kesalahan atau dosa” yang membayangkan masa depan bagi bekas Perdana Menteri 22 tahun itu menjadi Perdana Menteri sekali lagi, seakan 'gelap'.

Malah orang itu berhujah : “Adalah diyakini bahawa penarikan balik Darjah Kerabat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad ini bukan berpunca dari orang politik dan tidak dipengaruhi oleh pertimbangan politik kerana ia adalah kuasa prerogatif yang tidak didorong oleh mana-mana pihak lain selaras dengan peruntukan Perkara 45(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Peruntukan ini menyebut bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan bolehlah menarik balik mana-mana pangkat atau gelaran atau pingat-pingat kehormatan yang telah dikurniakan kepada mana-mana penerimanya jika pada pertimbangan Baginda ada cukup kesalahan atau dosa yang telah dilakukan oleh penerimanya yang mengharuskan diperbuat demikian.”

Orang ini tidak memperkatakan secara khusus apa dosa atau kesalahan Dr Mahathir tetapi mengemukakan pertanyaan apakah Dr Mahathir ‘masih boleh dilantik Perdana Menteri’.

Persoalan asas beliau ialah,  oleh kerana Yang di-Pertuan Agong, Baginda mempunyai budi bicara yang luas, termasuk di dalam urusan perlantikan Perdana Menteri, di mana Perkara 40 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan secara jelas bahawa “Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi melantik seorang Perdana Menteri”, maka tidakkah nanti akan timbul masalah jika HARAPAN menguasai Putrajaya?

Sebelum melihat kepada apa kesannya penarikan balik pingat itu, elok juga jika dilihat kepada tindakan Istana Kelantan berbuat tindakan terhadap dua individu lain

Ada spekulasi bahawa ia ada kaitan dengan krisis Istana Kelantan pada 1990-an dan tindakan pemimpin Parti AMANAH ‘kononnya mempoerguna Tengku Muhammad Petra’ di ceramah mereka sejak beliau menyertai parti itu pada September 2016.

Malah dikatakan  pada satu ceramah, pemimpin AMANAH memperkenalkan Tengku Muhammad sebagai “bapa saudara Yang di-Pertuan Agong” sebagai menyokong perjuangan mereka yang menyebabkan Istana Kelantan kurang gembira.

Perbuatan itu dikatakan faktor berlakunya seleheng antara AMANAH serta pemimpinnya dengan Istana Kelantan.


Sebenarnya, apa yang berlaku kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Husam Musa atau juga Wan Rahim Wan Abdullah bukan sesuatu asing.

Ini  kerana di Terengganu, ia juga berlaku kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sebelum ini.

Pingat ditarik balik  tetapi sebab-sebabnya sangat berlainan. Di Kelantan kerana faktor politik tetapi di Terengganu kerana faktor pentadbiran.

Jika di Kelantan, ada pula pihak menganggap tindakan Istana Kelantan  itu kerana ‘kesan pelanggaran Baiah’ oleh Husam dan Wan Rahim kerana keluar dari PAS, bagaimana dengan Dr Mahathir dan Ahmad Razif?

Sultan yang menganugerah dan Sultan boleh menarik balik keistimewaan itu. Dalam konteks ini, tiada perkataan malu atau zalim. Yang ada hanyalah redha.

Di pihak pemberi pula itu haknya dan jika pada waktunya dirasakan perlu dipulangkan, sudah pasti akan dipulangkan. Namun, jangan lari daripada semuanya ditetapkan oleh Allah swt.

Seperti dalam kes Ahmad Razif, daripada bergelar Datuk Seri, beberapa ketika dengan Encik atau Cik gu sahaja dan kini kembali Datuk Seri.

Juga, apakah penarikan pingat itu akan menjejaskan reputasi politik ketiga-tiga mereka?

Rasanya tidak sebesar mana. Cuma ada spekulasi mengatakan pintu untuk Husam menjadi Menteri Besar jika Pakatan Harapan (HARAPAN) menang sudah tertup rapat (rapat jip kata orang Kelantan).


Persoalannya, jika tidak Husam, apakah tiada pemimpin lain yang layak, khususnya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)? 

Malah, dispekulasikan sekiranya  Husam menang kerusi Parlimen, beliau juga tidak akan dipersetujui untuk dilantik Menteri Kabinet. Ini andaian semata-mata kerana bukan semua perkara mengenai perlantikan Kanibet ada di tangan Yang DiPertuan Agong (Sultan Muhamad ke V).

Atau spekulasi berkenaan kerana dendam kepada Husam yang mahu melihat karier politiknya berkubur dan jika hidup pun sekadar ADUN atau Ahli Parlimen sema-mata.

Berkaitan dengan  Dr Mahathir pula bagaimana?

Apakah akan ada lagi penarikan pingat selepas Dr Mahathir dan isteri memulangkan pingat kepada Istana Selangor pertengahan Disember 2017 lalu dan terbaru oleh Istana Kelantan pada 6 Februari lalu?

Apakah beliau tidak akan diterima menjadi Perdana Menteri sekiranya HARAPAN menang pilihan raya kesan daripada penarikan pingat berkenaan?

Apakah ‘isu yang berkaitan istana Kelantan’  mahu dibawa ke Pusat hanya kerana Sultan Muhamad V kini menjadi Yang di-Pertuan Agong?

Tidak wajar dispekulasikan bahawa tindakan Istana Kelantan menarik balik Darjah Kerabat kepada Dr Mahathir hanya berpunca daripada pertimbangan pihak istana bahawa ada cukup kesalahan atau dosa yang telah dilakukan oleh Dr Mahathir yang bertepatan pula dengan sumpah Baginda untuk memeliharakan Agama Islam dan memerintah secara adil dan aman.

Apakah Dr Mahathir menggugat keamanan dan wujudnya ketidakadilan sedangkan beliau belum pun memegang kuasa.


Isu ini memerlukan penyelesaian politik dan pentadbiran, selain mengambil kira kehendak rakyat ramai.

Kebijaksanaan Istana Negara dan Majlis Raja-Raja akan menentukan perkara ini.

Memandangkan menurut Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri “seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”,  Istana Negara pastinya akan juga melihat kepada kehendak rakyat.

Apakah Raja-Raja Melayu termasuk Istana Negara tidak akan mengambil kira kemahuan rakyat?

Malah, adalah lebih baik untuk rakyat dan negara - jika benar ada seleheng antara Dr Mahathir dan Istana Kelantan atau mana-mana istana -  diatasi melalui perundingan dan meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.

Pemuafakatan baik antara parti yang mendapat majoriti sokongan rakyat  dengan pihak istana, khususnya Istana Negara perlu diwujudkan demi kesejahteraan rakyat.

Bergantunglah kepada penasihat kedua-dua pihak untuk mencapai kata sepakat.

Matlamatnya, bukan mencari perbezaan -  selepas runtuhnya  pemerintahan Najib Razak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 nanti – sebaliknya formula untuk pemerintahan yang adil dan saksama untuk semua rakyat negara ini.

Inilah antara ujian getir yang perlu difikirkan dan jangan ada pihak yang cuba menggunakan ‘kerengganan antara pentadbiran negara dengan Istana’ bagi mengucar-kacirkan keadaan.

Sekiranya jalan keluar yang baik dapat dicapai, rakyat dan negara yang akan mendapat I,buhan besar daripadanya.

Pada ketika itu, isu penarikan pingat tidak akan timbul lagi.

Malah kemungkinan pingat dengan darjat lebih tinggi lagi akan dianugerahkan kembali kepada mereka yang ditarik pingat sebelum ini.

Harapan rakyat adalah untuk melihat institusi pentadbiran negara dan istana bergandingan rapat demi masa depan, keharmonian  serta  kesejahteraan semua bukan  sebaliknya.

Kerana itu isu penarikan pingat khususnya terhadap Dr Mahathir biarpun dilihat sebagai suatu ‘krisis kepimpinan politik dan istana’ tetapi hakikatnya ia suatu ‘kocakan kecil dalam sebiji cawan’ yang akan kembali tenang sekiranya kedua-dua pihak tidak menjadikannya sebagai suatu krisis berterusan.

Yang pentinf semua pihak perlu berlapang dada dan meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.

DAULAT TUANKU!

Saturday, February 10, 2018

‘FILEM TANAH FELDA’ SHAHRIR GAGAL JADI ‘BOX-OFFICE’



Tulisan ini bukan mahu menghukum ketika era siapa tanah FELDA di Jalan Semarak terjual.

Sebaliknya ia mengenai apa jadi kepada usaha dan harapan FELDA dan kerajaan Barisan Nasional/UMNO menjadikan ‘filem atau drama pentas’  tanah FELDA di Semarak yang ternyata tidak menjadi sambutan apalagi sebagai filem ‘ box-office’.

Malah ia suatu ‘filem’ yang tersangat gagal bukan sahaja daripada  segi plot ceritanya, tetapi juga bentuk lakonan dan arahan.

Spin dan usaha mempengaruhi minda rakyat bahawa tanah FELDA di Jalan Semarak jelas gagal.

Ternyata  filem  yang diarahkan oleh Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad kini terdedah bahawa  segala bukti yang dipaparkan sebelum ini, hanya sebuah ‘lakonan’ semata-mata.

Shahrir pada 15 Januari 2018 lalu memberitahu media bahawa FELDA sudah mendapatkan semula pemilikan terhadap 16 plot tanah itu.

Kenyataan itu ada kaitan dengan laporan media pada 21 Disember tahun  lepas, bahawa FELDA  berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FELDA Investment Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.
  
Sedangkan, setakat 31 Januari lalu ketika geran-geran itu diperolehi, kesemua 16 lot tanah tersebut masih lagi dimiliki Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd (Lot 390) dan Synergy Promenade Sdn Bhd (15 lot yang lain).

Shahrir -  filemnya gagal
Maka ternyatalah seperti dakwaan saya sebelum ini bahawa cubaan memutarbelitkan minda rakyat atau pendapat umum (public opinion) mengenai kononnya pemulangan kembali tanah FELDA berjaya dilakukan - adalah semata-mata sandiwara dan lakonan kerajaan BN/UMNO, termasuk Shahrir sendiri.

Dengan kata lain, terbukti kini penggunaan media – khsusunya media aliran perdana – tidak menjadi. Isu ini sebaliknya bingkas membantai diri kerajaan BN/UMNO yang semakin terperosok kini.

Biarlah Shahrir mahu meletakkan kesalahan kepada orang lain dengan mengatakan pemindahan itu berlaku sebelum ‘zamannya’, namun dia perlu bertanggungjawab di atas kenyataannya sebelum ini yang mendapat liputan luas media arus perdana.

Perjanjian jual beli antara FELDA dengan pemaju swasta berkenaan - syarikat pembangunan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) dan Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd - yang menyebabkan agensi itu kehilangan 16 plot tanah ditandatangani pada Disember 2015 dan November 2016. (Semua lot itu, yang bernilai RM270 juta, didaftarkan pada Mac 2017 di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur – proses yang tidak diketahui oleh FELDA).

Rakyat tidak mahu tahu proses pemindahan, termasuk kaveat atau siapa terlibat dalam proses pemindahan itu tetapi yang penting ialah kononnya tanah itu sudah balik atau menjadi milik FELDA.

Faktanya ialah audit forensik mengenai pemindahan itu menunjukkan wujudnya elemen penipuan dan salah guna kuasa dalam transaksi itu.

Namun apa yang berlaku?

1.   Seperti didedahkan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli - susulan pemeriksaan dengan membeli setiap geran yang bernilai RM30 setiap satu -  di pejabat tanah menunjukkan dua syarikat masih didaftarkan sebagai pemiliknya.

2.  Menafikan kata-katanya sendiri (seperti dilaporkan oleh media arus perdana secara besar-besaran) kini sebenarnya pemaju hanya menyerahkan dokumen penting (“Apa yang saya kata ialah pemaju menyerahkan dokumen penting kepada kami supaya kami dapat memindahkan pemilikan tanah itu kembali kepada FELDA,” kata Shahrir semalam).

3.  FELDA kini dalam proses menggunakan dokumen berkenaan untuk mendapatkan semula pemilikan terhadap plot tanah berkenaan.

Rafizi - dedah kebenaran
Berdasarkan hujah berkenaan, banyak lagi proses dan kemungkinan-kemungkinan  hasil daripada sandiwara Shahrir kerana yang pasti ketika ini,  geran tanah FELDA Jalan Semarak itu tetap hak milik pemaju.

Amat nyata, daripada penelitian yang dibuat oleh Rafizi tiada satu pun dari tanah-tanah itu yang telah dipindah milik kembali kepada FELDA.

Persoalannya, bagaimana Shahrir boleh mengumumkan bahawa  FELDA telah memiliki kembali hak milik tanah berkenaan?

Apakah maksud Shahrir sedangkan geran-geran hak milik secara jelas menunjukkan ia masih lagi hak milik pemaju?

Jika pemilik tanah berkenaan masih digengaman dua syarikat berkenaan,  bagaimana Shahrir boleh memaklumkan kepada rakyat Malaysia ia milik FELDA.

Apakah tindakan Shahrir ini sebagai mempunyai ‘niat menipu’ dan ‘menyelewengkan fakta sebenar mengenai status pemilikan’ tanah berkenaan?

Soal penubuhan jawatankuasa menyiasat  perjanjian persefahaman yang ditandatangani di antara FELDA dan SPSB pada 15 Jan 2018 di mana pihak pemaju iaitu SPSB telah secara sukarela bersetuju mengembalikan hak milik kesemua 16 lot tanah kepada Felda tanpa kos,  adalah soal lain.

Juga kenyataan bahawa SPSB, yang juga pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang turut bersetuju menyerahkan  kesemua suratan  hak milik hartanah tersebut untuk didaftarkan semula atas nama FELDA juga isu lain.

Yang diperkatakan di sini, amatlah malu jika Shahrir sanggup menjadi pelakon dan pengarah bagi isu ini dengan mengharapkan ia menjadi ’box office’ tetapi akhirnya penonton dapat juga menghidu bahawa penipuan terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan maruah Falda dan kerajaan BN/UMNO.

Shahrir tidak wajar bermain sandiwara kalaupun mahu melindungi pihak tertentu. Beliau juga tidak wajar untuk mengelakkan dirinya daripada tidak terlibat di dalam pelbagai urusniaga yang merugikan peneroka FELDA.

Beliau perlu bertanggungjawab sebagai pengerusi agensi itu.

Bukan sahaja peneroka dan warga FELDA yang merasa tertipu dan tersinggung dengan sandiwara ini.

Pastinya,  seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti isu ini turut rasa terkilan dan kecewa dengan lakonan Shahrir ini.

Wednesday, January 17, 2018

BENARKAH ADA ‘DIPLOMASI DARURAT’ SINGAPURA-MALAYSIA???


Terkejut dan tertanya-tanya apakah benar wujud  ‘diplomasi darurat antara Malaysia-Singapura’?

Tetapi semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyebut mengenainya di Singapura.

Kata Najib: "Kami tidak sekali-kali ingin kembali kepada era diplomasi konfrontasi dan gemar melaungkan kata-kata retorik antara kedua-dua negara.”

Merujuk kepada hubungan antara Malaysia dan Singapura Najib berkata kedua-dua pihak mahu melupakan era itu dan tidak ingin sekali-kali kembali kepada era tersebut.

Aneh sekali kerana sepanjang pembelajaran dan pengetahuan saya di sekolah menengah – hingga ke mata pelajaran Sejarah untuk High School Certificate (HSC) - saya tidak pernah jumpa era berlakunya ‘Darurat Malaysia-Singapura’ atau hubungan yang diasaskan kepada ‘diplomasi konfrontasi’.

Malah, ketika membuat penyelidikan untuk tesis sarjana sains politik untuk Ijazah M.Soc.Sc pada akhir 1970-an, tidak terjumpa pula unsur darurat antara Malaysia dan Singapura.

Malah ‘guru’ saya Prof Khoo Kay Kim pun tidak pernah menyebut mengenainya. Beliau memang pakar sejarah.

Yang saya baca dan dengar dalam perbualan dengan Tan Sri Ghazali Shafie, Tengku Ahmad Rithaudeen, Tan Sri Aishah Gahni, Pak Sako, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tan Sri Kamil Jaafar  atau Tan Sri Razali Ismail, konfrontasi hanya dengan Indonesia sekitar 1962 hingga 1966.

Dengan kata lain, Malaysia tidak pernah berkonfrontasi dengan mana-mana negara, melainkan Indonesia.

Semalam selepas mendengar Najib menyebutnya, saya cuba mencari melalui selidikan ‘Google’, juga tidak bertemu unsur-unsur ‘diplomasi Darurat Malaysia-Singapura’.

Apakah diplomasi darurat ini berlaku pada tahun 1980-an, 1990-an atau sekitar  tahun sebelum 2009?

Apakah pakar sejarah atau pengkaji sains politik terlepas pandang atau ‘buta’ mengenai peristiwa itu?

Amat pelik kerana pengalaman bekerja dengan media perdana termasuk akhbar, radio dan televisyen, tidak pernah bertemu pun dengan era atau episod ‘diplomasi Darurat Malaysia-Singapura’


Bagaimana Najib boleh berkata demikian?

Apakah tujuan sebenar beliau ialah mahu mencipta  satu istilah baru dalam hubungan antara bangsa umpama istilah ‘gunboat diplomacy’?

Atau apakah beliau sengaja mencipta istilah ini untuk helah tersendiri?


Rasanya ia tidak lain dan tidak bukan demi kepentingan atau sebagai umpan untuk mendapat persetujuan bagi  Sistem Rapid Transit System (RTS) rentas sempadan itu, yang pernah beliau umumkan pada 2010.

Projek  akan beroperasi dari Bukit Chagar di Johor ke stesen Woodlands North di Singapura.

Projek RTS  antara Johor Bahru dan Singapura sejauh empat kilometer itu mampu mengangkut sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah apabila siap pada 2024.

Selain itu, cerita mahu bina kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura ini pun bukan baru iaitu sejak awal tahun 2000 lagi.

Cuma kebetulan, ia menjadi kenyataan sekarang. Tetapi bukan kerana darurat seperti disebut oleh Najib, projek itu terpaksa ditangguhkan.

Banyak perdebatan disebut mengenainya termasuk banyak kebimbangan, termasuk kesan kepada Lapangan Terbamng Antabangsa Kuala Lumpur, tambang mahal dan banyak lagi.


Namun  apabila Najib menyebut:  "Kami percaya kedudukan kerajaan sekarang merupakan kedudukan yang akan membawa manfaat bersama kepada Singapura dan Malaysia dan kami sentiasa berpegang kepada dasar kami, agenda kami dan kemampuan kami untuk menyampaikan manfaat sebenar dan ketara kepada rakyat Malaysia serta Singapura," kata beliau pada sidang media bersama bersempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura kelapan di Istana di sini, hari ini.

Maka kita terpaksa faham bahawa kata-katanya itu sengaja direka dengan berbagai tujuan.

Selain mendapat persetujuan dua projek berkenaan, Najib juga secara langsung menembak ‘seekor lagi burung’ dalam sempadan Malaysia.

Peluru juga ditujukan kepada seorang ‘tua’ yang kononnya di era pemerintahannya menyebabkan wujudnya  ‘diplomasi darurat itu’.

Benarkah demikian? Apakah pertelingkahan sempadan seperti Batu Putih dan perdagangan dengan Singapura hingga membawa kepada darurat?

Malah pemisahan Singapura daripada Malaysia yang begitu getir pada 1965 juga tidak sampai darurat.

Aneh sekali,  di pihak rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong tidakpun mengaitkan ‘darurat itu’ dengan mendiang bapanya atau dalam sebarang pertelingkahan dengan Malaysia.

Malah bagi Perdana Menteri Singapura itu, tiada sekalipun darurat berlaku antara kedua-dua negara.

Jika Lee turut bersetuju dengan Najib, sebagai rakyat Malaysia kita perlu bangkit membantahnya.

Aneh sekali jika darurat Indonesia- Malaysia mengaitkan Presiden Sukarno dengan bekas Perdana Menteri Tengku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Abdul Razak Hussein, ‘Darurat Malaysia-Singapura’ hanya melibatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seorang diri.

Darurat perlu ada dua pihak yang berselisih.

Apa yang dilakukan oleh Najib tidak betul malah amat dikesali.

Perbuatan cuba mengubah sejarah yang sudah terpahat mempunyai niat peribadi yang perlu dikecam dan diperbetulkan.

Usahlah cuba mencemar dan menjatuhkan maruh orang lain demi mendapatkan projek berbilion ringgit.


Usahlah mempersendakan orang lain yang pernah berjasa kepada negara hanya kerana mahu berbaik-baik dengan Singapura.

Berdirilah di atas kekuatan diri bukan memijak kepala pemimpin terdahulu kerana perbuatan itu bukan sahaja biadap tetapi juga beretika.

Apakah Najib mahu melakar sejarah baharu dan mengubah buku teks Sejarah dengan memasukkan darurat fasa kedua selepas darurat pertama berjaya diatasi melalui semangat persahabatan Kuala Lumpur-Jakarta?

Membezakan Najib dan Tun Razak ialah, bapanya tidak menyalahkan Tunku dalam episod darurat dengan Indonesia.

Sebaliknya Najib mencipta dan menggunakan faktor darurat untuk mempromosi diri sendiri selain meraih keuntungan daripadanya untuk mendapatkan projek RTS dan HSR yang masing-masing dijangka siap pada 2024 dan 2026.

Bagi saya semua ini timbul kerana HSR yang dikatakan paling kurang untuk bahagian Malaysia sahaja dijangka boleh mencecah RM35 bilion hingga RM40 bilion walaupun ada mengatakan hingga RM80 bilion.

Sementara untuk RTS pula dikatakan kos keseluruhan mungkin mencecah RM12 bilion.

Bagi Najib mungkin, saya ulangi  MUNGKIN – beliau  sanggup menjadikan bekas Perdana Menteri sebagai ;kambing hitam’ asalkan beliau mendapat apa yang beliau mahukan.

Apa yang dimahukannya? HSR dan RTS yang kos kedua-duanya berjumlah hampir RM50 bilion dan membuktikan ia suatu game changer?.


Inilah sebenarnya  sebahagian daripada apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir sebagai rapatnya Najib dengan ‘Cash Is King’!

Tuesday, January 16, 2018

DR MAHATHIR TETAP ‘REMAJA DALAM PERJUANGAN’, KEUPAYAANNYA DIIKTIRAF..


Satu fakta nyata, Najib tidak akan dapat ‘duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi’ dengan Dr Mahathir yang  waras dan berani menentangnya.

Sejauh ini yang sering menyebut Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘tua’ dan tidak layak lagi memimpin ialah pemimpin UMNO dan PAS.

Mereka berdua seperti berpakat dalam menggelarkan sedemikian, Rasanya rasanya gelaran  ‘tua’ itu bukan sangat dalam konteks umur.

Sebaliknya  ia lebih menyerlahkan kebimbangan pemimpin UMNO dan PAS terhadap kemampuan kepimpinan dan pengaruh politik Dr Mahathir di alam dan luar negara.

Dengan kata lain pemimpin dua parti itu bimbang rakyat menyokong Dr Mahathir untuk membawa ‘cahaya dan harapan baru’ bagi membawa Malaysia ke suatu era yang berbeza dengan keadaan sekarang.

Walaupun ‘tua’ Dr Mahathir tetap diyakini mampu membawa banyak perubahan dan kemajuan kepada rakyat dan negara ini.

Malah mereka berharap Dr Mahathir memang pada pilihan raya akan datang dan menjadi Perdana Menteri, walau sementara.

Persoalannya, apakah Dr Mahathir tidak sedar beliau sudah hampir mencecah usia 100 tahun atau satu abad?

Pasti jawapannya ‘ya’. Namun kenapa beliau masih bersemangat berjuang dan mahu menundukkan kerajaan Barisan Nasional (BN)/UMNO?

Persoalannya juga ialah, apakah rakyat dan parti yang menyokong beliau melalui kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) daripada PKR, DAP, AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menentang BN?UMNO kali tidak menyedari faktor umur Dr Mahathir itu?

Dr Mahathir sendiri sedar beliau sudah tua.


Tapi kenapa tidak dicalonkan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu atau pemimpin senior lain  tetapi lebih muda daripada Dr Mahathir untuk mengepalai ‘perang dengan BN/UMNO’ dan kemudian menjadi Perdana Menteri?

Malah sebelum ini beliau beberapa kali menolak cadangan memimpin PH dan menjadi calon Perdana Menteri jika PH menang pilihan raya umum le-14 (PRU14).

Namun, yang nyata, yang lebih muda daripada beliau dalam PH pun memang ramai yang turut layak untuk dicalonkan. Namun kesemua mereka mereka tidak disokong ke calon Perdana Menteri, walaupun ada cadangan.

Kenapa PH tidak memilih Datuk Seri Azmin Ali, Sallehuddin Ayob, Nurul Izzah Anwar, Mukhriz Mahathir, Husam Musa atau mungkin Rafizi Ramli  sebagai calon Perdana Menteri?

Anehnya, musuh politik lamanya yang sudah memaafkan beliau – Datuk Seri Anwar Ibrahim – turut menonjolkan Dr Mahathir untuk bertarung dfi barisan paling hadapan dengan Najib serta BN/UMNO.

Sebaliknya  hampir semuanya dan  boleh dianggap sebagai sebulat suara menyokong dan mencadangakan beliau msebagai calon Perdana Menteri.

Dr Mahathir dilihat sebagai faktor penyatu semua parti dan pemimpin melalui PH, selain mampu mempengaruhi orang Melayu khususnya di luar bandar dan kawasan FELDA supaya mengundi parti tajaan PH.

Memanglah hasil atau bukti penentu sokongan rakyat kepada pencalonan ini akan diterjemahkan pada PRU14. Namun untuk ketika ini, yang bernai dan sanggup menjadi ‘panglima perang yang memimpin bala tentera PH’ ialah seorang yang berusia 93 tahun.

Persoalannya kenapa mereka begitu yakin kepadanya walaupun sudah memasuki usia 93 tahun?

Selain rekod pencapaiannya dalam kepimpinan dan pentadbirannya sebelum ini sangat memuaskan, beliau dilihat mampu untuk mengemudi bahtera PH ke suatu era lebih gemilang berbanding kepimpinan Najib Razak.

Jangan lupa beliau terlibat dalam setiap pilihan raya sejak menjadi Perdana Menteri hingga pilihan raya 1990 dan 1999 yang begitu kritikal.

Melihat kepada kemampuan dan sokongan begitu padu, Najib terpaksa bermain psikologi dan ‘taktik kotor’ melalui kenyataannya terhadap Dr Mahathir sebagai ‘Umur 93 tahun dan melalut’.


Demi mempromosi dan pertahankan dirinya untuk dilantik semula sebagai Perdana Menteri, Najib Razak (Datuk Seri) terpaksa mengatakan Dr Mahathir sudah menyimpang daripada perjuangan asalnya dan “tidak mahu bersara”.

Katanya: “Jangan pula jadi macam seorang tu. Umur dah 93 tahun, tidak mahu bersara. Dia dah melalutlah tu,” pada satu majlis bersama polis di ibukota semalam.

Walaupun tidak menyebut nama bekas mentornya itu, rakyat tahu siapa Najib maksudkan.

Najib seperti tidak mahu menerima reality bahawa Dr Mahathir hanya akan menjadi Perdana Menteri sebelum Anwar dan ‘waras’ dalam setiap kenyataannya mengkritik Najib.

Najib terpaksa merujuk kepada faktor umur dan mengatakan DR Mahathir seolah-olah ‘nyanyuk’ hanya demi memperlekehkan Dr Mahathir.

Hakikatnya Dr Mahathir tetap waras dan ‘tidak hilang ingatan’  dan berani menentangnya.

Satu fakta nyata, Najib tidak akan dapat ‘duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi’ berbanding Dr Mahathir.

Berbeza dengan Dr Mahathir yang disanjungi rakyat dan dihormati sumbangannya kepada negara, Najib terpaksa membuat rayuan yang berbunyi: “Saudara-saudara sekalian, kita perlu sumbang kepada masa depan negara dengan cara kita sendiri.

Jadi pulanglah ke kampung dan sokonglah kerajaan,” untuk membolehkan beliau terus mendapat sokongan sebagai Perdana Menteri.

Di sebalik kenyataan itu, sepatutnya Najib malu dan janggal untuk menentang bekas bosnya yang tahu semua perkara, termasuk kelemahan mengenai dirinya.

Tidak mungkin Dr Mahathir tidak tahu mengenai peribadi Najib kerana Perdana Menteri itu sudah berkhidmat dengan bekas Perdana Menteri itu sejak selepas pilihan raya umum 1982.

Namun Dr Mahathir hanya menyasarkan serangannya terhadap Najib terhadap kelemahan dan kesilapannya yang begitu besar dalam mentadbir negara.

Satu perkara lagi yang menyebabkan rakyat begitu tertarik dengan Dr Mahathir ialah beliau sanggup memimpin PH walaupun tahu jika menang PH terpaksa mewarisi masalah kerajaan sekarang sekiranya menang pilihan raya.

Mewarisinya bermakna perlu mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan semua masalah yang disebabkan oleh Najib serta BN/UMNO.


Ini juga suatu pengorbanan.

Ini bermakna Dr Mahathir adalah panglima perang menghadapi PRU14 dan selepasnya sebagai Perdana Menteri yang akan menyelesaikan semua kemelut akibar perbuatan  Najib dan BN/UMNO.

Tidakkah kesediaan Dr Mahathir itu membuktikan beliau sentiasa remaja dalam perjuangannya dan tidak melalut dalam pendekatannya sebagai pemimpin PH demi membela rakyat?