Thursday, November 20, 2008

WANITA UMNO – PANAS & BERAPI

Wanita UMNO bukan sekadar sudah pandai baling kerusi pada mesyuarat Wanita Bahagian seperti yang berlaku di Kuala Selangor tetapi pada peringkat nasional sudah pandai memberi amaran dan dedah-mendedah.

Dan terbaru, dalam Wanita UMNO akan berlaku ‘langar-melanggar’ pula apabila Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengatakan beliau akan menentang Tan Sri Rafidah Aziz pada pemilihan Mac nanti.

‘Kak Aishah’ (Tan Sri Aishah Ghani) menyatakan rasa malunya kerana kemelut pelan peralihan kuasa Wanita Umno yang berlarutan hingga menyebabkan Presiden UMNO terpaksa campur tangan untuk menyelesaikannya.

Beliau menyatakan kecewa dengan senario politik pergerakan itu menyifatkan ia makin teruk berikutan sikap degil, ego dan terlalu mementingkan diri di kalangan pemimpin Wanita Umno.

Malah, beliau yang juga bekas Ketua Wanita Umno, berkata sebagai pergerakan yang berusia 59 tahun, seharusnya setiap masalah yang dihadapi diatasi di peringkat dalaman bukan hingga memaksa pemimpin tertinggi parti campur tangan bagi menanganinya.

Itu kata Kak Aishah tetapi wanita sekarang ‘mesti jadi punya’. Puteri UMNO pula ‘asal jadi’. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana kalau Puteri UMNO kelak menjadi wanita UMNO (amaran – pertandingan Ketua Puteri membabitkan 7 penjuru - Datuk Shahaniza Samsudin, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datin Ismalina Ismail, Bibi Sharliza Mohd. Khalid, , Azlina Mehtab Mohd. Ishaq, Saarah Ali Bashah dan Ida Rahayu Md. Noor).

Dalam kenyataannya hari ini, Shahrizat menegaskan beliau terpaksa menerima pencalonan dan sokongan untuk bertanding jawatan ketua Wanita Mac depan, sekiranya Rafidah yang juga ahli parlimen Kuala Kangsar itu tetap mahu mempertahankan jawatan tersebut.

Pengumuman Shahrizat itu dianggap menjawab teka-teki selama ini sama ada beliau akan menerima pencalonan untuk bertanding jawatan tersebut.

Saya sudah meramalkan dalam posting bertajuk “Shahrizat Tetap ‘Langgar’ Rafidah?” pada 11 November 2008 bahawa Shahrizat akan melanggar Rafidah ketika memfokuskan perbincangan kenapa Datuk Kamalia Ibrahim tetap dengan keputusannya bertanding Naib Ketua Wanita.

Malah M Star Online turut meramalkan perkara serupa. Saya menyebut dalam posting itu: “Pada ketika akhbar-akhbar online dan portal berita Malaysiakini melaporkan Mesyuarat Exco Pergerakan Wanita UMNO semalam sebulat suara bersetuju supaya proses peralihan kuasa kepimpinan pergerakan itu kekal seperti yang dirancangkan pada Jun tahun depan, MStar Online pula pergi jauh sedikit dengan mengatakan kemungkinan akan ada pertandingan dalam pergerakan itu.”

Wanita UMNO dah haru biru apabila ada yang menyokong formula peralihan kuasa cadangan Rafidah dan ada yang menyokong Shahrizat ‘melanggar’ Rafidah.

Kelmarin, Naib Ketua Wanita Umno Perak, Datuk Rusnah Kassim berkata pencalonan yang diberikan Wanita Umno Bahagian kepada Rafidah untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno adalah kerana arahan, bukannya kehendak sebenar ahli akar umbi.

“Kami berhasrat untuk mempunyai ketua pada Mac ini dan bukannya pemangku,” kata Rusnah.

Ini namanya dedah dan amaran pula bagaimana?

Amarannya ialah kata-kata daripada Exco Wanita Umno, Datuk Khamsiyah Yeop bahawa sekiranya Rafidah terus mempertahankan jawatan itu, Wanita Umno tidak ada pilihan selain memilih Shahrizat yang juga telah meraih sokongan sebenar daripada akar umbi.

Tegasnya: “Bagaimanapun kami mahu supaya tiada pertandingan (bagi jawatan ketua pergerakan). Ini sebaik-baiknya dan ini harapan semua orang. Kita mahu jadikan penyerahan dan perubahan kuasa (seperti ini) sebagai warisan seperti yang dibuat oleh Tan Sri Aishah Ghani yang serahkan kuasa kepada Rafidah dulu. Itu yang kita harapkan.”

Jelas Wanita UMNO bukan sahaja ‘panas’ tetapi kini berapi.

Selepas kesemua 191 bahagian Wanita selesai bermesyuarat awal bulan ini, 117 bahagian mencalonkan Rafidah untuk mempertahankan jawatannya manakala 73 lagi mencalonkan Shahrizat untuk jawatan ketua.

Khamsiyah yang Ketua Wanita Umno Bahagian Lenggong menjelaskan bahawa 117 pencalonan yang diterima Rafidah adalah 'sekadar di atas kertas' dan tidak boleh diguna pakai untuk mencerminkan kehendak sebenar anggota pergerakan itu yang mahukan gandingan Shahrizat dan Datuk Kamilia Ibrahim.

Mereka berkata demikian pada satu sidang akhbar di sini bagi mengumumkan bahawa 22 daripada 24 bahagian Wanita Umno di Perak kini mahu agar peralihan kuasa daripada Rafidah kepada Shahrizat dipercepatkan dari Jun ke Mac tahun depan.

Dan hari ini lebih 100 bahagian menyokong Shahrizat bertanding jawatan ketua Wanita Umno Mac ini.

Menurut exco pergerakan itu, Raja Ropiah Raja Abdullah yang juga ketua Wanita Umno bahagian Petaling Jaya Utara, sekurang-kurangnya lima negeri memberi sokongan penuh kepada Shahrizat untuk mencabar penyandang, iaitu Rafidah. Lima negeri tersebut, katanya, ialah Pulau Pinang, Perak, Melaka,Sabah dan Negeri Sembilan.

Raja Ropiah berkata, negeri-negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan - yang sebelum ini merupakan penyokong kuat Rafidah - kini telah mula beralih sokongan kepada Shahrizat.

Alasan utama sebahagian ahli Wanita UMNO mahu Shahrizat bertanding ketua Wanita ialah mereka tidak mahu Shahrizat menjadi pemangku selama tiga tahun.

Ini kerana proses itu tidak akan menguatkan kedudukan Wanita Umno terutamanya untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

ALTANTUYA – JANGAN FITNAH NAJIB

“Saya merayu kepada anda semua supaya berhenti menyebarkan fitnah tentang YAB Dato Sri Mohd Najib Abdul Razak, Perdana Menteri dan isterinya. Saya tahu bahawa Dato Sri dan isteri tidak pernah menemui si mati, Altantuya. Terlalu banyak fitnah yang dilernparkan kepada TPM dan isterinya. Mereka yang menyebarkan fitnah tidak pernah mengeluarkan bukti yang kukuh kerana sememangnya tidak ada bukti.

Kebenaran adalah kebenaran dan tiada apa yang boleh mengubah kebenaran.”
Demikian rayuan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda yang dibebaskan daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada 31 Oktober lalu, hari ini.

Razak membuat rayuan pada ketika usaha ‘membunuh karier Najib’ dilakukan dengan cara berbagai, termasuk menggelarkan Najib sebagai ‘pembunuh”.

Kes pembunuhan Altantuya yang mana mayatnya dilupus menggunakan bahan letupan di Puncak Alam, berlarutan hampir dua tahun dan pihak pendakwaan akhirnya menutup kes pada 23 Jun lalu.

Tidak diketahui sama ada rayuan Abdul Razak ini akan meredakan perbuatan memfitnah Najib atau sebaliknya.

Abdul Razak membuat rayuan itu pada satu perjumpaan pertama dengan media selepas dibebaskan di sebuah hotel di Kuala Lumpur kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Razak juga mengesahkan bahawa Najib tidak pernah menemui Altantuya seperti didakwa pihak tertentu sebelum ini.

Kenyataan ini juga dijangka akan membuka semula perdebatan mengenainya, termasuk isu gambar, akuan bersumpah penyiasat persendirian, P Balasubramaniam dan banyak lagi.

Menurut laporan sebelum ini sebahagian besar pembaca Malaysiakini yang menyertai tinjauan pendapat selama 24 jam yang diadakan sebelum ini, percaya P Balasubramaniam bercakap benar dalam akuan berkanun pertamanya, yang ditarik balik sehari selepas ia diumumkan.

Sejumlah 6,418 pembaca Malaysiakini menyertai tinjauan pendapat tersebut (lihat carta).

Tinjauan itu mendapati 92 peratus daripada 5,880 pembaca percaya akuan berkanun pertama Balasubramaniam adalah benar.

Abdul Razak, yang juga pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, terlepas daripada tuduhan bersubahat dengan dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, dalam pembunuhan Altantuya di Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara jam 9.45 pagi 18 Oktober 2006 dan 9.45 malam 19 Oktober 2006.

Azilah dan Sirul Azhar bagaimanapun diperintah membela diri terhadap tuduhan membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara Lot 12843 dan 16735 Mukim Bukit Raja, Puncak Alam, Selangor antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006. Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Beliau turut merayu semua pihak berhenti daripada melemparkan fitnah terhadap Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Untuk mengetahui lebih lanjut sila ikuti kenyataan akhbar Razak seperti berikut:

Kenyataan akhbar Abdul Razak Baginda

(Malaysiakini, 20 November 2008)

lzinkan saya pertama sekali merakamkan penghargaan saya kepada sdr/sdri sekalian di atas kehadiran sdr/sdri pada pagi ini. Saya juga ingin terlebih dahulu memohon maaf kerana tidak dapat bertemu sdr/sdri sebelum ini. lzinkan saya mulakan dengan mengucap syukur Alhamdullah, segala pujian bagi Allah SWT, Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Agung kerana adanya saya di sini hari ini, di antara sdr/sdri sebagai seorang yang bebas.

Saya telah menghabiskan selama 22 bulan di penjara dan dengan petunjuk Allah SWT jua, dengan keyakinan penuh bahawa saya tidak bersalah dan sokongan yang diberikan oleh keluarga dan kawan karib yang telah membantu saya melalui apa yang boleh saya katakan sebagai satu tempoh yang sangat menekan, sangat menduga dan sangat menyedihkan sepanjang usia 48 tahun saya. Kata-kata tidak akan mampu menggambarkan dan menyatakan penghargaan saya yang amat mendalam terhadap keluarga saya yang telah bersama-sama saya mengharungi waktu yang sangat mencabar ini.

Kasih sayang dan dedikasi mereka yang tidak terhingga yang memberi saya kekuatan. Setiap hari Sabtu tanpa gagal, keluarga saya akan datang melawat saya semasa tempoh lawatan mingguan. Sejumlah lebih 100 kali mereka datang melawat dan lawatan mereka adalah kemuncak dari seminggu saya. Sungguh, saya sungguh bertuah.
Mungkin lumrah manusia apabila seseorang di dalam kesusahan, ramai yang rnenjauhkan diri.

Saya telah menjangkakan ini dan tepat sekali, lumrah manusia ini tidak pernah mungkir. Saya telah menyambut dua kali Hari Raya di dalam penjara. Sebelum dipenjara, menjelang Hari Raya saya akan terima ratusan kad raya. Bagi dua tahun yang lepas, saya terima tidak lebih dari dua puluh keping kad.
Kepada mereka yang telah menghantar ucapan selamat kepada keluarga saya dan kepada yang segelintir yang pernah hadir di mahkamah, saya mengucapkan terima kasih.

Kehadiran dan sokongan anda bermakna kepada saya dan keluarga saya.
Terirna kasih yang tidak terhingga dari saya kepada para peguam saya yang bukan sahaja telah berkerja keras di dalam kes saya tetapi juga telah datang melawat saya di penjara. Semasa Perang Dunia Kedua, apabila askar ditawan sebagai tawanan perang, memang menjadi tugas mereka untuk melepaskan diri.

Tentu sekali, tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk melepaskan diri, bagaimanapun saya tetap terlepas kerana fikiran saya sentiasa bebas. Zahirnya seseorang boleh dipenjara tetapi fikirannya tidak mungkin terpenjara. Keluarga saya, kawan karib, para peguam saya dan buku-buku saya telah membantu saya melepaskan diri, kerana fikiran saya tidak pernah terpenjara. Kepada saya, inilah pelepasan diri yang bermakna.
Ramai orang cenderung mempunyai tanggapan yang sempit dan negatif tentang penjara dan pihak penguasanya. Bagaimanapun, saya ingin menyatakan di sini, ia bukanlah satu tugas yang mudah dan umumnya saya dapati pihak penguasa penjara telah menunjukkan satu tahap profesionalisma yang tinggi.

Penghargaan saya juga untuk mereka.
Akhir sekali, saya mengucapkan terima kasih kepada tahanan-tahanan lain. Mereka telah menolong saya melalui kehidupan di penjara yang antaranya, mereka menunjukkan kebaikan yang ikhlas kepada saya. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan semoga yang terbaik untuk mereka. Tidak ada perkataan yang rnarnpu rnenyatakan dan menggambarkan kesengsaraan yang di lalui keluarga saya selama hampir dua tahun.

Sejak saya ditahan dalam bulan November 2006, banyak yang telah diperkatakan oleh ramai orang. Pembohongan dan tanggapan yang tidak berasas telah dijadikan asas yang kononnya dikatakan kebenaran. Kebenaran sebenar sudah tidak lagi menjadi penting. Seolah-olah tiada siapa yang berminat lagi untuk mengetahui perkara yang sebenar. Beberapa pihak telah membuat yang bersepadu untuk rnemutarbelitkan kisah sebenar sehingga menjadi timbunan sampah sarap. Pembohongan cepat sekali memintas kebenaran. Seperti yang dikatakan Shakespeare dalam Henry IV, "Pembohongan sudah setengah pusingan mengelilingi dunia sebelum kebenaran sempat menyarung kasutnya".


Saya akui saya sendiri merasa terperanjat rnenyaksikan bagaimana kes saya telah digembar-gemburkan sebegitu liar dan orang yang tidak tahu-menahu muncul di tengah persoalan dan berjaya memesungkan pandangan sedemikian ramai orang. Ramai yang telah ikut serta dan terbawa dengan perbuatan yang tidak benar ini. Yang tidak bersalah menjadi mangsa sementara yang berdusta bermaharajalela.

Oraqg ramai
diperdaya dan mereka percaya apa yang ingin mereka percaya, tanpa menghiraukan kebenaran. Saya sedar akan adanya mereka yang sentiasa mencurigai dan memutar-belitkan segala apa yang saya katakan untuk meremeh dan menyalah tafsir kata-kata saya. Saya terperangkap dalam situasi "dipersalahkan jika berbuat sesuatu dan dipersalahkan jika tidak berbuat sesuatu".

Ada yang menasihatkan saya supaya tidak memberi kenyataan kerana ia akan hanya menjadi satu usaha yang sia-sia. Kata
mereka, apapun yang saya katakan tiada bezanya kerana orang lebih suka dengan tafsiran mereka sendiri meskipun di ceritakan yang sebenarnya. Walaupun setelah kisah yang sebenar muncul, orang-orang seperti ini akan mempunyai penjelasan mereka sendiri. Seakan suatu yang tidak boleh dimenangkan.

Bagaimanapun, saya rasa jika saya tidak berani dan cuba melawan arus untuk menyatakan yang sebenarnya, saya hanya memejamkan mata dan malah membenarkan pembohongan berterusan. Saya akan cuba dengan rasa penuh tanggungjawap menegakkan kebenaran rnengatasi kepalsuan. Bagi saya, rnengambil sikap tidak peduli adalah tidak bertanggung jawap. Seperti kata Martin Luther, "Di sini saya berdiri, saya tidak dapat berbuat lebih, tolonglah saya Tuhan". Ahli Media Sekalian, Saya merayu kepada anda semua supaya berhenti menyebarkan fitnah tentang YAB Dato Sri Mohd Najib Abdul Razak, Perdana Menteri dan isterinya. Saya tahu bahawa Dato Sri' dan isteri tidak pernah menemui si mati, Altantuya.

Terlalu banyak fitnah yang dilernparkan kepada TPM dan isterinya. Mereka yang menyebarkan fitnah tidak pernah mengeluarkan bukti yang kukuh kerana sememangnya tidak ada bukti. Kebenaran adalah kebenaran dan tiada apa yang boleh mengubah kebenaran.
Sdr/Sdri mungkin cukup mengenai perbicaraan kes masih berlangsung.

Saya telah dinasihatkan oleh peguam saya supaya tidak rnenyentuh secara khusus kes saya demi memelihara keluhuran perbicaraan tersebut.
Akhir sekali, saya ingin mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT bagi membenarkan dan menguatkan lagi bukti yang saya tidak bersalah di mahkamah.

Saya juga ingin rnenjelaskan bahawa saya tidak pernah melakukan kesalahan kepada si mati. Walaubagairnanapun, saya mengucapkan simpati saya yang tidak terhingga kepada keluarga simati keatas kehilangan rnereka.
Ribuan terima kasih di atas perhatian sdr/sdri.

UMNO TANAH MERAH YANG ‘BERDARAH’

Bahagian Pertama

Apakah tindakan memecat keahlian Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tanah Merah, Abdul Rahman Ibrahim semalam boleh menjernihkan Bahagian UMNO Tanah Merah?
Juga apakah tindakan itu mampu menjamin UMNO menang di Tanah Merah dalam pilihan raya umum akan datang?

Malam semalam saya menerima sms daripada seseorang (mungkin dari Tanah Merah) yang berkata: “Apa yang dilakukan oleh seorang AJK Bahagian Tanah Merah adalah ‘wake-up’ call’ kepada kepimpinan UMNO Pusat, kalau scenario kejadian di Tanah Merah ini tidak didengar dan masih lagi lena ia akan melengkapkan syarat kejatuhan UMNO seluruh negara.Sebagai ahli jawatankuasa yang terpanggil dan mempunyai obligasi terhadap kekuatan dan keutuhan UMNO. Walaupun beliau sedar beribu risiko dihadapi, namun kecintaan kepada UMNO beliau sanggup membakar diri untuk member cahaya harapan kepada UMNO yang nyata saban hari semakin gelap. Apakah peristiwa ‘Singapura dilanggar Todak’ akan berulang. Apakah kita yang waras ini mahu bersekongkol dengan para ‘sibebal yang tidak sabar’ berleluasa dan ‘bermaharajalela dalam UMNO. Tepuk dada tanya selera.”

Saya cuba membelek-belak balik laporan akhbar mengenai kes berkenaan. Mahu membaca semula kejadian yang berlaku dan bagaimana ia berlaku.

Persoalan 1: Benarkah Abdul Rahman membawa kes ke mahkamah kerana meminta mahkamah menghalang mesyuarat bahagian atau beliau ‘meminta mahkamah menghalang 32 ahli UMNO bahagian itu menghadiri mesyuarat berkenaan”.

Seingatan saya Abdul Rahman mengemukakan saman pemula dan mendapat perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi menghalang 32 ahli termasuk bekas Ketua Pemuda, Ikmal Hisham Abdul Aziz menghadiri mesyuarat bahagian tersebut, bukan menghalang mesyuarat dilangsungkan.

Ini dua perkara yang sangat-sangat berbeza.

Persoalan 2: Jika Abdul Rahman dihukum kerana Ibu Pejabat UMNO melalui peguamnya membela hanya 32 ahli UMNO di Tanah Merah, bagaimana dengan ahli-ahli lain dalam Bahagian UMNO Tanah Merah. Apakah mereka tidak wajar mendapat ‘layanan istimewa’ sedemikian? Apa istimewanya ’32 ahli UMNO berkenaan”?

Persoalan 3: Siapa pula yang mengumumkan penagguhan mesyuarat perwakilan UMNO Tanah Merah tempoh hari, apakah ia dibuat oleh Pengerusi mesyuarat atau Peguam UMNO? Bolehkah peguam UMNO menghentikan mesyuarat dan atas alasan perintah mahkamah?

Persoalan 4: Apakah kes Abdul Rahman ini dilakukan sebagai tindakan awal atau selepas gagal mendapat ‘keadilan sewajarnya’ daripada Ibu Pejabat UMNO.

Persoalan 5: Apakah ada surat tunjuk sebab kepada Abdul Rahman dan kenapa beliau tidak boleh dipecat keanggotaan. Apakah Abdul Rahman mengabaikan surat itu?

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata semalam, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO yang bersidang kelmarin juga memutuskan Abdul Rahman tidak boleh merayu untuk menganggotai semula UMNO.

‘‘Kita telah menggugurkan keahlian beliau pada 4 November lepas kerana tindakannya membawa masalah parti ke mahkamah. Ia berkuat kuasa serta-merta,’’ katanya dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Kata Tengku Adnan, Abdul Rahman dipecat berikutan tindakannya mengemukakan saman meminta mahkamah menghalang mesyuarat bahagian itu diadakan baru-baru ini.

Pada 8 November lalu, persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah, Kelantan yang berlangsung di Sekolah Menengah Teknik terpaksa ditangguhkan atas arahan Ibu Pejabat UMNO.

Ini ekoran Abdul Rahman yang mengemukakan saman pemula dan mendapat perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu kelmarin bagi menghalang bahagian itu meneruskan persidangan.

Saya belum mahu mengulas lanjut, cuma mengemukakan pentanyaan-pertanyaan yang mungkin boleh direnungkan bersama.

Seperti saya katakana sebelum ini, Bahagian UMNO Larut dan Tanah Merah boleh menjadi kajian kes penting untuk memantapkan UMNO.

(Tunggu Bahagian Kedua)

LARUT YANG SEMAKIN MELARUT-LARUT

Saya ‘kembali ke Larut’ apabila terpesona dengan kata-kata Agendadaily bahawa kes ini mungkin kecil dalam kontek politik nasional tetapi ada pemerhati politik yang menilai ia satu kes contoh dan menarik untuk dilihat bagaimana ia tanganinya oleh pihak atasan UMNO.

Membaca analisis Agendadaily mengenai ‘UMNO Bahagian Larut….yang berlarutan’ pada 16 November lalu, jelas sekali fakta yang dikemukakan seimbang.

Sebahagian besar fakta-fakta yang diperkatakan oleh Agendadaily itu sebenarnya sudah saya sentuh melalui posting ‘Larut Yang Berlarutan’ pada 9 November 2008 dan kemudian melalui analisis ‘tiga bahagian’ bermula Selasa, 11 November dan Rabu 12 November 2008 bertajuk “Mata Tertumpu kepada JK Pengurusan’.

Sehingga kini, mesyuarat UMNO Bahagian Larut masih ditangguhkan kerana pertikaian kedudukan Datuk Hamzah Zainuddin yang juga Ahli Parlimen kawasan itu sama ada beliau layak bertanding atau tidak. Jawatan Ketua UMNO Bahagian yang kini disandang oleh Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin.

Hamzah ialah calon ‘ payung terjun’ yakni orang luar yang bertanding kerusi parlimen kawasan itu mengambil alih tempat Raja Ahmad yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Kubu Gajah di situ.

Persoalannya bukan isu ‘orang luar’ di sini kerana Hamzah diterima baik oleh kepimpinan UMNO Bahagian Larut yang turut memainkan peranan menjamin kemenangannya dan Barisan Nasional.

Seperti yang sudah banyak dilaporkan mengenainya Hamzah yang sebelum ini mengetuai UMNO Bahagian Ipoh Barat telah menukar keahliannya ke sebuah cawangan di UMNO Bahagian Larut iaitu Sungai Bayur pada bulan April lalu.

Ada suara-suara mengatakan Hamzah kini mencanang ke seluruh bahagian itu dan di Perak, bahawa beliau datang ke Larut pada bulan Jun 2008.

Kenapa tidak April dan mahu Jun pula? Mesti ada sebab tersendiri bagi Hamzah atau orang-orangnya!

Selain fakta disebutkan oleh saya dan Agendadaily, perkembangan terbaru khususnya perkara-perkara berikut menarik untuk diteliti, khususnya berkaitan kenyataan-kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Raja Ahmad dan Hamzah sendiri.

1. Apa maksud Setiausaha Agung UMNO apabila mengatakan ‘Bukan kerana kami kawan baik”.

Pelik sedikit apabila tiba-tiba Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan keputusan beliau membenarkan Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin untuk bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Larut bukan dibuat atas dasar beliau adalah kawan baiknya. (Utusan Malaysia, 15 November 2008 ).

Kata Tengku Adnan: ''Ada orang kata dia (Hamzah) kawan baik saya sedangkan bukan dia seorang sahaja yang boleh bertanding.

Dia boleh (bertanding) kerana dia tidak menggunakan hak dia di cawangan dan bahagian yang lama tetapi orang tidak mahu dengar peraturan. Kenapa takut pada bayang-bayang?" soalnya.
Persoalannya, siapa yang mengatakan Tengku Adnan kawan baik dengan Hamzah? Tiada kenyataan dibuat oleh mana-mana pihak pun yang mengatakan mereka berdua kawan baik. Tengku Adnan membuat kenyataan mungkin berdasarkan hearsay sahaja.

Dan memangpun Tengku Adnan perlu menjadi ‘kawan baik’ dengan semua Ketua Bahagian, termasuk Raja Ahmad juga kerana kedudukannya sebagai Setiausaha Agung UMNO.

Dengan ‘menafikan’ bukan kerana kawan baik, Tengku Adnan mengundang persoalan lain yang berbagai dan diperkatakan dalam konteks yang berbagai. Tahulah orang UMNO - yang sejengkal menjadi satu hasta.

Dan siapa pula Tengku Adnan maksudkan dengan “tidak mahu dengar peraturan” dan “takut pada baying-bayang”? Bukankah Raja Ahmad?

2. Tengku Adnan memberikan alasan Hamzah boleh bertanding kerana keputusan tersebut adalah berdasarkan peraturan (Perlembagaan Umno mengikut Fasal 6 iaitu berkaitan tanggungjawab dan hak seseorang ahli)sebagaimana kebenaran diberikan kepada Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir bertanding di Kulim/ Bandar Baharu, Kedah setelah bertukar dari UMNO Bahagian Baling, selain bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Osman Desa juga dibenarkan bertanding di UMNO Bahagian Sik setelah bertukar dari Kepala Batas, Pulau Pinang, manakala Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad dibenarkan bertanding apabila bertukar ke bahagian Parit Sulong, Johor.

Kenyataan Setiausaha Agung itu menarik untuk dibandingkan dengan kes Larut.

a. Kes Kulim/Bandar Baru – Menurut laporan Utusan Malaysia, 11 Ogos 2008, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu selepas menerima pencalonan daripada 72 cawangan UMNO yang bersidang dalam bahagian berkenaan. Abdul Aziz menerima pencalonan selepas abangnya yang juga penyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengumumkan tidak mempertahankan jawatan tersebut untuk memberi laluan kepada muka baru. Ini bermakna ada kekosongan.(Abdul Aziz merupakan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil yang kemudiannya tewas bertanding bagi kerusi Parlimen Kulim/Bandar Baharu pada pilihan raya umum lepas);

b. Kes UMNO Bahagian Sik - Menurut laporan Utusan Malaysia, 23 Julai 2008, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman mengumumkan tidak akan mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sik, Kedah yang disandang sejak 20 tahun lalu bagi memberi laluan kepada pemimpin muda dan lebih berwibawa. Ini juga bermakna ada kekosongan.

Utusan Malaysia turut melaporkan, antara calon yang disebut-sebut akan bertanding sebagai Ketua Bahagian UMNO Sik ialah Ketua Pemuda Bahagian tersebut, Mohd. Tajuddin Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantek selain bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Osman Desa yang sebelum ini tewas di Parlimen Sik dalam Pilihan Raya Umum ke-12, juga disebut-sebut akan bertanding jawatan tersebut. Pada 9 November lalu Mohd.

Tajudin dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Sik yang baru selepas menewaskan Osman dalam pertandingan satu lawan satu dengan majoriti 64 undi. Mohd. Tajudin yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO bahagian, meraih 232 undi mengatasi Osman yang hanya mendapat 168 undi, bagi menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Othman yang berundur.

c. Bagaimana pula dengan kes Larut?

Laporan Utusan Malaysia, 16 November 2008 menyebut, calon Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Hamzah Zainuddin berkata pergolakan pada peringkat pemilihan bahagian itu mungkin disebabkan individu tertentu berasa terancam dengan kehadirannya selepas berpindah ke bahagian berkenaan. Sebelum itu melaporkan Hamzah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata beliau tidak berniat mengancam kedudukan mana-mana pihak dan keputusan bertanding Ketua Bahagian Larut adalah permintaan ahli peringkat akar umbi.

“Saya dah jumpa perwakilan cawangan, mereka mahu saya bertanding... 70 peratus daripada cawangan menyokong keputusan berkenaan,” kata Hamzah.

Walaupun alasannya mengatakan ahli Umno bahagian itu mahukan perubahan tetapi ternyata ia tiada kekosongan seperti dua bahagian yang dirujuk oleh Tengku Adnan.

Ternyata kes yang dirujuk oleh Tengku Adnan di Kulim/Bandar Baru dan Sik berdasarkan Fasal 6 Perlembagaan UMNO tidak sama dengan Larut kerana Ketua UMNO Bahagian tidak mengosongkan kerusinya atau bersedia melepaskannya.

Tidak mengapa sekiranya perkara itu masih boleh dipertikaikan.

Tetapi bagaimana dengan kenyataan terbaru Raja Ahmad bahawa beliau mempunyai bukti Ahli Parlimen Larut, sudah menggunakan haknya di bahagian lamanya di Ipoh Barat walaupun beliau menjadi ahli di sebuah cawangan di Bahagian Larut.

Raja Ahmad mendakwa, mengikut Fasal 6.3.8 Perlembagaan Umno, seseorang ahli tidak berhak mengambil bahagian bercakap, mengundi, memilih dan dipilih dalam cawangan atau bahagian baru yang disertainya, jika ahli itu menggunakan hak dalam cawangan atau bahagian asal bagi tahun berkenaan.

Menurut Raja Ahmad: "Umno Bahagian Larut sudah menyerahkan laporan dan bukti mengenai perkara itu kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Umno dalam satu pertemuan pada Selasa lalu (11 November 2008). Kami didapati dia (Hamzah) menggunakan haknya di Ipoh Barat (Bahagian Umno) dan itu yang dipertikaikan.... kita berharap perkara itu akan diselesaikan mengikut Fasal 6.3.8 dan peraturan parti," katanya.

Menurut Raja Ahmad, kerana itulah Umno Bahagian Larut dalam mesyuarat khasnya 2 November 2008 lalu, menolak pencalonan Hamzah untuk bertanding merebut jawatan ketua bahagian atas alasan melanggar peraturan keahlian parti, iaitu mesti mendaftar sebagai ahli cawangan sebelum 1 Disember 2007. Ketua Umno Bahagian Larut, Raja Ahmad Zainuddin, berkata Hamzah yang juga bekas Ketua Umno Ipoh Barat dan Ahli Parlimen Larut hanya menjadi ahli di satu daripada 97 cawangan bahagian Larut, April lalu.

3. Kenyataan mengelirukan –Utusan Malaysia, 10 November 2008 melaporkan, Hamzah membuat pengumuman terbuka dengan mendakwa seramai 74 daripada 97 Ketua UMNO cawangan di bahagian Larut yang mengadakan pertemuan di Bukit Merah mendesak supaya beliau bertanding merebut jawatan Ketua Bahagian itu.

a. Yang anehnya, menurut laporan sebelum itu, ketika mesyuarat cawangan, Raja Ahmad menerima 28 pencalonan untuk mempertahankan jawatannya manakala pencabarnya, iaitu timbalannya Datuk Mohamad Daud Yusof mendapat 33 pencalonan. Hamzah dikatakan menerima 22 pencalonan. Bahagian berkenaan mempunyai 97 cawangan tetapi pencalonan daripada 14 cawangan telah ditolak kerana mengadakan mesyuarat tanpa pengetahuan bahagian.

Apabila Hamzah mengatakan dia mendapat sokongan 74 cawangan, dari manakah datangnya angka itu? Kalau campur pencalonan untuk Hamzah sebanyak 22 dan mungkin sokongan daripada penyokong Daud sebanyak 33 cawangan, ia hanya menjadi 55 sahaja. Apakah sokongan untuk Raja Ahmad kini tinggal 9 cawangan sahaja selepas 19 cawangan sudah lari kepada Hamzah? Wallahualam!

b. Raja Ahmad mendakwa pertemuan di Bukit Merah yang dianjurkan oleh Hamzah itu sendiri menyalahi etika pemilihan parti yang tidak membenarkan sebarang pertemuan seumpama itu diadakan menjelang pemilihan jawatan. Katanya, ini lebih-lebih lagi Hamzah sebagai Ahli Majlis tertinggi UMNO.


Dalam soal sama ada Hamzah sebagai melanggar etika, hanya Lembaga Disiplin atau Jawatankuasa Pengurusan UMNO sahaja boleh menentukannya.

Apapun dalam konteks Bahagian UMNO Larut ini, ada beberapa kenyataan lain yang bersifat cliché umpamanya oleh Raja Ahmad yang menolak andaian beliau cari pasal kerana gentar hendak berdepan dengan Hamzah dalam pemilihan jawatan itu apabila berkata: “Ini bukan soal pertandingan tetapi soal prinsip melibatkan peraturan parti,”sementara Hamzah pula dengan kenyataannya bahawa beliau setuju untuk bertanding apabila meyakini bahawa majoriti anggota di kawasan Parlimen itu mahukan perubahan dan telah meminta agar beliau bertanding jawatan itu. "Soalnya adakah kemasukan saya ke bahagian Larut dan kemudian bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut mengancam kedudukan sesetengah pihak?," Tanya beliau.

Cuma yang saya tidak faham ialah kenyataan Tengku Adnan bagaikan seorang doktor politik hebat yang mampu merawat insiden pertelagahan dan pergaduhan selain politik wang pada pemilihan bahagian dengan berkata, UMNO sekarang sedang sakit, parti saya sakit. Katanya: ''Saya akan beri dos yang lebih bagi mengubati bahagian-bahagian yang terbabit. Kalau tidak, kita tidak akan berubah. Kalau kita sakit tetapi ubat yang diberikan tidak mengikut sukatan, macam mana hendak sembuh."

Jika saya berjumpa dengan doktor politik yang hebat ini saya akan bertanya, apakah boleh kita tegakkan sifat kita sebagai orang Melayu dan Islam - apabila sudah berjanji untuk tidak ‘langgar’ seseorang (maksudkan bertanding menentang) lebih-lebih lagi janji dibuat di hadapan Presiden UMNO dan Tengku Adnan sendiri - kita sewajarnya patuh kepada janji yang kita lafazkan itu. Jika kita engkar jenis manusia apakah kita ini?

(Dalam kenyataannya sebelum ini, Raja Ahmad berkata, pihaknya sebelum ini ada membangkitkan perkara keahlian Hamzah pada mesyuarat badan perhubungan Umno negeri sebanyak dua kali termasuk yang dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Ipoh, 21 September lalu. "Pada mesyuarat itu, Hamzah memaklumkan beliau tidak berhasrat bertanding jawatan ketua bahagian Larut kepada Pak Lah, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan turut dihadiri Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor," katanya.)

Dalam UMNO hendaknya jangan ada lagi budaya seperti yang dilakukan oleh seseorang terhadap Tun Ghafar Baba pada awal 1990-an iaitu janji tidak melanggarnya untuk jawatan Timbalan Presiden tetapi kemudian menabur pink form berterbangan di Lautan China Selatan hingga ke Sabah untuk meraih kemenangan.

Akhirnya Tun Ghafar membawa diri dan sehingga menutup matanya pemimpin yang banyak berjasa kepada UMNO itu tidak memaafkan perbuatan orang itu.

Budaya buruk itu sewajarnya sudah dibuang jauh-jauh tetapi mungkin masih ada –bekas murid pemimpin berkenaan - dalam UMNO hari ini yang mahu memulakan semula budaya berkenaan!

KESIAN DENGAN MAT TAIB

Lepas satu, satu.

Apa yang tidak kena dengan Tan Sri Muhammad Muhd Taib?

Minggu lalu ada pihak menuding jari kepadanya apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kehairanannya bagaimana calon yang tertinggal jauh tiba-tiba mendapat kelayakan bertanding Timbalan Presiden UMNO.

Dr Mahathir mengaitkan ‘politik wang’ yang membolehkan seseorang calon yang jauh tertinggal ke belakang tiba-tiba boleh layak bertanding.

Betul atau tidak betul apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir tidak penting lagi tetapi Muhammad sudah jadi mangsanya.

Dan kelmarin Muhammad berdepan pula dengan kritikan terbuka di Dewan Rakyat bahawa pegawainya ‘berlagak’.

Betul ke tohmahan itu?

Selain tuduhan pegawainya berlagak, ada yang mengaitkan perlantikan pegawai khas itu ada tujuan politik – membantu menjamin beliau menang untuk pertandingan Timbalan Presiden.
Penggulungan Muhammad berkaitan perbahasan peringkat jawatankuasa untuk Kementerian Luar Bandar dan Wilayah bagi Bajet 2009 di Dewan Rakyat, terhenti beberapa kali apabila beberapa anggota Parlimen dari Sabah membangkitkan isu pegawai khas daripada kementerian itu yang didakwa 'berlagak' seperti anggota Parlimen.

Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) yang mendedahkan perkara itu, meminta penjelasan daripada Muhammad mengapa seorang pegawai khas kementerian itu boleh membuat lawatan ke kampung-kampung dan memberi pandangan tanpa meminta kebenaran wakil rakyat di kawasan itu.

Muhammad berkata pegawai khas itu berasal dari Tenom yang terletak di pedalaman Sabah dan berpendapat beliau hanya menyampaikannya kepada kementerian mengenai apa yang dilihat di kampungnya.

Semasa menjelaskan pertanyaan Datuk Anifah Aman (BN-Kimanis), Muhammad juga menafikan bahawa pelantikan pegawai khas itu mempunyai motif politik untuk mendapat sokongan bagi bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan Mac depan.

"Ia tidak mempunyai kaitan politik. Pegawai khas kementerian bukan saja dari Sabah, tetapi Pahang serta Kelantan pun ada dan pemilihan mereka ini adalah untuk membantu kementerian mengenal pasti masalah serta menyediakan jawapan pada sesi Dewan Rakyat seperti ini," katanya.

Pada penggulangan itu, Muhammad berkata Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mensasarkan bekalan elektrik 100 peratus di kawasan luar bandar di Semenanjung dan 90 peratus di Sabah dan Sarawak menjelang akhir 2010.

Katanya, sebanyak RM642 juta diperuntukkan sepanjang separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi meningkatkan penyediaan kemudahan itu.

Dua kejadian ‘malang’ menimpa Senator itu dalam tempoh tidak sampai seminggu.

Apa pula selepas ini?