Tuesday, May 5, 2009

PENANTI – MAJLIS TERTINGGI BN TENTUKAN

Waras dan tepat.

Jangan putuskan sama ada mahu bertanding dalam sesuatu pilihan raya kerana desakan individu atau puak-puak tertentu.

Yang penting ia mesti diputuskan oleh Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) kerana parti yang bertanding ialah BN, walaupun calonnya daripada parti komponen.

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa keputusan sama ada Barisan Nasional (BN) akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi BN tidak lama lagi sangat tepat dan amat bersesuaian.

Menurut Perdana Menteri: “Saya tidak fikir ini isu UMNO sahaja tetapi ini adalah isu BN juga sebab apabila kita bertanding kita bertanding atas tiket BN," katanya pada sidang akhbar selepas mengakhiri lawatan dua hari ke Sabah hari ini.

Beliau memberitahu, mesyuarat Biro Politik UMNO semalam tidak membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

Sebelum ini, pelbagai desakan ditimbulkan, termasuk oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi mengenai perkara itu.

Ramai juga yang mendesak agar UMNO dan BN tidak bertanding.
DUN Penanti kosong setelah bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin, 33, dari Parti Keadilan Rakyat mengosongkannya dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran.

Pilihan raya kecil Penanti menarik perhatian kerana ia turut mendapat reaksi PAS yang memaksa Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengatakan beliau tidak mahu ahli parti itu membuat kacau dan membelakangi perjanjian dengan sekutunya dalam pakatan pembangkang untuk menuntut Pas meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, PAS perlu berpegang pada janji yang dibuat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung pengagihan kerusi pilihan raya yang dibuat sebelum ini.
“Kalau itu kawasan PKR, hak dialah. Kita kena balik kepada perjanjian. Kita orang Islam pentingkan janji, jangan buat kacau, janji mesti sempurna.

“Macam di Kelantan, kita ikut perjanjian. Kita beri kerusi kepada PKR, dia nak menang ke, kalah ke, itu dia punya pasallah,” katanya kepada pemberita di kediaman beliau di Pulau Melaka, beberapa hari lalu.

Ia sebagai mengulas desakan bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Mohd. Nordin supaya pimpinan parti menimbangkan meletak calon Pas bertanding di DUN Penanti 31 Mei ini.

Mohd. Hafiz mendesak supaya pimpinan parti itu menimbang untuk meletak calon bertanding di DUN Penanti, selepas kerusi itu dikosongkan oleh wakil rakyatnya, Mohammad Fairus Khairuddin.

Mohammad Fairus yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang telah mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa 16 April lepas.

Dua hari lalu (3 Mei 2009), Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian parti tu untuk menyokong calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mansor Othman yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang.

Abdul Hadi berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor antaranya PKR telah bertanding di kawasan itu pada pilihan raya umum (PRU) tahun lepas dan memenanginya.
"Kita telah buat keputusan bahawa PKR yang bertanding di Penanti. Ini keputusan yang kita muktamadkan kerana parti itu yang menjadi calon pada PRU lalu.

"Tak perlu dipertikaikan lagi. Mereka lebih wajar untuk bertanding. Itu tempat mereka yang kita sahkan. Kita juga telah mengarahkan jentera parti di peringkat negeri dan kawasan supaya memberi sokongan penuh kepada calon itu," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin lepas menetapkan tarikh penamaan calon pada 23 Mei dan sekiranya ada pertandingan, hari pengundian pada 31 Mei.