Wednesday, May 6, 2009

BETUL KE JJ TAWAR RM30,000?

Ini cerita memang menarik.

Mana JJ (Datuk Seri Jamaluddin Jarjis), wakil rakyat Rompin yang berjambang yang memang glamour sewaktu menjadi Menteri dulu?

JJ adalah Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan dilihat sebagai ‘rapat’ dengan Datuk Seri Najib Razak.
Kerana apa menarik? Kerana beliau kini dikaitkan dengan kes wanita Mongolia yang diletup – Altantuya Shaariibuu.

Raja Petra Kamaruddin mendakwa melalui tulisan terbaru melalui blognya semalam bahawa beliau ditawarkan sebanyak RM30,000 sebulan oleh Datuk Jamaluddin Jarjis, seorang kenalan dekat Perdana Menteri, sebagai imbuhan agar beliau berhenti menulis tentang wanita Mongolia tersebut.

Tidak semema-mena JJ kini terpalit dengan kes ini gara-gara dakwaan Raja Petra itu.

Benarkah JJ mahu Raja Petra berhenyi menulis? Kalau tidak benar kena jawap atau saman terus! Haha…
Ini bukan kes kecil DS JJ. Ia membabitkan maruah DS dan Perdana Menteri.

Perdana Menteri juga kena melihat dakwaan ini. Kerana apakah Najib tahu mengenai tawaran itu? Ini merana dakwaan Raja Petra itu membawa pelbagai tohmahan:

1. Apakah benar ada arahan daripada Perdana Menteri, atau

2. Tawaran itu pandai-pandai JJ saja?

Seronok dengan perkembangan terbaru ini.
Menurut laporan Malaysiakini, Raja Petra dalam tulisan terbarunya juga mendedahkan identiti sumbernya berhubung dakwaan wanita pertama negara, Rosmah Mansor berada di tempat Altantuya dibunuh.

Tuduhan terhadap Rosmah itu bukan lagi berat tetapi sungguh menakutkan. Takut apa? Takut tidak benar. Kenapa? Raja Petra akan mendapat bahananya.

Reputasi Rosmah dan Najib terjejas teruk dengan dakwaan itu!
Selain itu siapa saksi atau sumber Raja Petra apabila membuat tuduhan itu? Penggendali blog Malaysia Today itu mendedahkan, maklumat kontroversi tersebut datang daripada Leftenan Kolonel Azmi Zainal Abidin, "orang nombor dua dalam unit khas bahagian risikan tentera" Malaysia.
Kata Raja Petra, beliau bertemu pegawai tentera melalui seorang rakannya, Nik Azmi Nik Daud, yang dikenalinya sejak 45 tahun lalu.

Nik Azmi seorang pembantu ahli politik veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, kata penulis itu lagi. Namun ada mengatakan Nik Azmi bukan pembantu tokoh politik berkenaan. Yang mana satu betul?

Raja Petra mendakwa beliau memohon pertolongan daripada beberapa individu antaranya termasuk pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang lagi pembantu Tengku Razaleigh tentang kredibiliti pegawai tentera tersebut.

Melihat kepada individu yang membantu Raja Petra (kalau benar), mengejutkan juga, khususnya pembantu Tengku Razaleigh. Apakah ada ‘udang di sebalik batu’ kenapa pembantu veteran UMNO itu membantu Raja Petra dalam konteks mengesahkan kredibiliti Leftenan Kolonel Azmi?

Dan mengenai Anwar, tidak perlulah diperbincangkan lagi kerana Najib kini adalah ‘musuh nombor 1’ Anwar.

Dakwaan Raja Petra ini sudah pasti akan menjadi salah satu tajuk penting perbincangan rakyat Malaysia kerana ia membabitkan isteri Perdana Menteri.

SULTAN AZLAN SHAH TIDAK PECAT MOHD NIZAR

Saya tidak faham kenapa MStar semalam mengutamakan berita “Pelantikan Zambry MB Perak tidak ikut perlembagaan” daripada “Pelucutan jawatan Nizar akibat hilang kepercayaan, hujah - Peguam Negara”.
Kenapakah berita yang memetik afidavit di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu diutamakan?

Sedangkan laporan bahawa Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak memecat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar kerana pelucutan jawatannya dibuat secara sah mengikut Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak kerana beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri adalah lebih adil.

Hujah Peguam Negara itu itu sewajarnya diutamakan, kalaupun afidavit mahu turut dilayan. Di manakah pendirian MStar dalam perbicaraan ini?

Apakah MStar mahu menggambarkan tindakan Sultan Perak tidak tepat, kurang teliti dan melanggar Perlembagaan Perak?

Abdul Ghani berhujah bahawa Tuanku Sultan telah mematuhi Perlembagaan Perak dan telah menimbang dengan teliti fakta dan perkembangan sebelum mengisytiharkan pada 5 Februari lepas bahawa Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti dalam Dewan itu.
Apakah The Star mahu membela Mohammad Nizar, 52, yang memohon perisytiharan bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah?

Apakah The Star menyokong Muhammad Nizar bagi mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Dr Zambry, yang dilantik Menteri Besar pada 6 Februari, daripada menjalankan tugas itu?

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam diberitahu bahawa pelantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak pada 6 Februari lepas, menggantikan Mohammad Nizar adalah tidak mengikut perlembagaan.

Peguam Sulaiman Abdullah, untuk Mohammad Nizar, berkata bahawa Zambry tidak boleh menuntut pejabat Menteri Besar kerana Mohammad Nizar belum meletak jawatan dan pejabat Menteri Besar tidak pernah dikosongkan.

"Pelantikan seseorang ke pejabat Menteri Besar mungkin hanya sah jika pejabat itu dikosongkan.

"Jika pejabat itu tidak dikosongkan, tidak ada pelantikan yang sah dalam undangundang untuk menduduki pejabat itu, kerana tidak boleh ada dua orang memegang satu jawatan Menteri Besar," kata Sulaiman dalam hujah dua jamnya.

Abdul Gani berkata untuk menentukan tidak berlaku sebarang kecacatan dalam keputusan Baginda, Sultan Azlan Shah telah memanggil dan menyoal tiga anggota Dewan, yang dahulunya daripada partiparti pakatan pembangkang, terdiri Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) bagi memastikan bahawa Barisan Nasional mendapat sokongan mereka.

"Baginda telah menemui kesemua 31 anggota Dewan yang menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional," katanya.

"Saya dapati bahawa Baginda Sultan Perak telah menjalankan tugas dengan cara paling hormat," kata Abdul Gani dalam penghujahannya selaku pencelah dalam prosiding semakan undangundang yang difailkan oleh Mohammad Nizar pada 13 Feb lepas.

Abdul Gani berhujah bahawa oleh kerana Mohammad Nizar telah kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan, beliau secara automatik hendaklah meletak jawatan sebagai Menteri Besar seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 16 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
"Perkataan 'hendaklah meletak jawatan' dalam Perkara 16 (6) bermaksud 'mandatori'. Jika kita kehilangan kepercayaan, adakah kita masih hendak tunggu.

"Sebaik saja seseorang itu kehilangan kepercayaan, dia mesti meletak jawatan. Kita tidak boleh ada seorang Menteri Besar yang tidak mendapat kepercayaan majoriti," katanya.
Abdul Gani berkata bahawa Sultan Perak tidak pernah memecat seorang Menteri Besar sebaliknya Menteri Besar hendaklah meletak jawatan jika dia tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan.

"Itu adalah undang-undang dan itulah proses demokrasi," katanya.
Abdul Gani juga memberitahu mahkamah bahawa perlembagaan tidak mempunyai peruntukan agar satu usul undi tidak percaya dibuat sebelum Mohammad Nizar boleh dilucutkan jawatan.
"Baginda Sultan Perak sendiri telah memastikan perkara sebenar, dengan memanggil kesemua 31 anggota Dewan berkenaan, sebelum membuat keputusan bahawa pemohon (Mohammad Nizar) telah kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan," katanya.

Sebelum itu, Mohammad Nizar ketika menyambung keterangan semasa disoal balas, berkata beliau hanya tahu mengenai penarikan balik surat letak jawatan tiga ADUN berkenaan selepas menghadap Sultan Perak pada 5 petang 4 Februari.

"Saya hanya tahu selepas saya keluar dari Istana, apabila pegawai saya memberitahu melalui telefon pada pukul 6 petang, bahawa keluar kenyataan dalam berita menyatakan Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa ketiga-tiga ADUN melompat ke parti Barisan Nasional dan BN ada majoriti," katanya.

Pada 13 Februari, Mohammad Nizar, yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak pada 17 Mac 2008 memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa Khas) bagi memohon pengisytiharan bahawa beliau pada ketika mana adalah Menteri Besar Perak.

Dalam afidavit untuk menyokong permohonan itu, Mohammad Nizar mengukuhkan bahawa:

* Beliau telah menasihat dan memohoan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengelakkan berlaku sebarang kebuntuan dalam pentadbiran hal ehwal negeri itu memandangkan tiga anggota DUN tersebut telah meletak jawatan;

* Tidak ada pembubaran DUN;

* Tidak ada usul tidak percaya dibentangkan terhadap beliau di DUN;

* Beliau belum meletak jawatan daripada pejabat Menteri Besar. Sulaiman, dalam hujah beliau hari ini juga mempertikaikan bahawa Menteri Besar Perak tidak boleh dilucutkan jawatan oleh Sultan Perak.

"Menteri Besar mungkin hanya boleh dilucutkan jawatan setelah undi tidak percaya diluluskan terhadap beliau oleh anggota DUN itu," kata beliau.

Ini kerana, kata Sulaiman, Menteri Besar itu tidak memegang jawatan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia tetapi memegang jawatan tertakluk kepada keyakinan anggota DUN yang mana (Menteri Besar) bertanggungjawab.

"Peranan Duli Yang Maha Mulia di bawah Artikel 16(6) hanya memutuskan sama ada atau tidak untuk membubarkan DUN, jika Menteri Besar telah hilang undi tidak percaya," kata Sulaiman.
Sulaiman yang sebelum ini tidak bersetuju dengan hujah pencelah, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata bahawa pembubaran DUN tidak hanya tertakluk pada keadaan di mana Menteri Besar telah hilang keyakinan majoritinya.

"Apabila Menteri Besar menghadap Sultan memohon perkenan untuk membubarkan DUN, ia bukan satu pengakuan bahawa beliau telah hilang keyakinan majoriti. Pembubaran boleh dipohon pada bilabila masa, untuk sebarang sebab, dan bukan terhad pada hilang keyakinan majoriti," katanya.

Sulaiman juga berkata mahkamah hendaklah mematuhi dan mengaplikasikan keputusan Stephen Kalong Ningkan menentang Tun Abang Openg dan kes Tawi Sli, yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Sarawak pada 1966, pada kes ini.

Pada kes itu yang memutuskan bahawa Gabenor tersebut tidak boleh melucutkan Ketua Menteri tersebut dan tidak boleh melantik seorang Ketua Menteri kedua sementara ada seorang lagi memegang jawatan berkenaan, dan bahawa hanya satu jalan untuk Ketua Menteri untuk melucutkan jawatan dengan cara undi tidak percaya dalam Majlis Negeri.

Perlembagaan Sarawak, Perlembagaan Perak sangat jelas bahawa ia tidak ada kuasa untuk melucutkan jawatan Menteri Besar itu dan budibicara untuk melantik dua orang memegang jawatan Menteri Besar itu.

"Peruntukan Artikel 7(1) Perlembagaan Sarawak sama dengan Artikel 16(6) Perlembagaan Perak dan keputusan kes itu masih merupakan satu undang-undang yang baik," kata beliau.
Penghujahan di hadapan Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim disambung hari ini.