Friday, October 30, 2009

ADUN PKR MULA PERSOALKAN ANWAR…

Persoalan kenapa Anwar sengaja berusaha melengah-lengahkan perbicaraan meliwat bukan bermain di kepala orang biasa sahaja tetapi juga ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri.

Malah, isterinya Wan Azizah sering dipalitkan kerana enggan mengulas dakwaan terhadap Anwar.

Ternyata kes liwat yang membabitkan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara sebab ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah berkata beliau keluar PKR.

Hmm..ini baru satu. Berapa ramai lagi yang tidak yakin dengan Anwar dalam kes liwatnya?

Badrul berkata, beliau menjadi lebih syak terhadap Anwar yang menurutnya sengaja melengah-lengahkanperbicaraan dan enggan pula menjelaskan perkara itu kepada ahli-ahli parti.

Beliau juga mendakwa bahawa presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar, juga enggan untuk menjelaskan mengenai dakwaan liwat tersebut.

Katanya, ia merupakan sebab utama beliau membuat keputusan keluar PKR kerana beliau tidak boleh berkompromi dengan isu-isu moral seperti yang dihadapi oleh pemimpin PKR.

Tegas Badrul, sebagai seorang Muslim yamg berpegang teguh kepada prinsip Islam, katanya, moral seseorang pemimpin itu amat penting untuk mendapatkan sokongannya.

Ditanya mengapa beliau menunggu hingga sekarang untuk menimbulkan isu liwat itu, Badrul tidak memberi jawapan secara langsung dan berkata "saya tidak boleh berkompromi dengan pemimpin yang mempunyai cerita begini".

Badrul hari ini mengumumkan bahawa beliau keluar PKR dan menjadi ADUN bebas yang 'mesra' BN.

Beliau membuat keputusan itu beberapa jam selepas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan kepada PKR supaya meminta Badrul meletak jawatan kerana didakwa gagal menunjukkan prestasi yang baik.

Dalam kenyataan yang dibacanya dan dilaporkan Malaysiakini, Hisham juga mendakwa beliau telah dianaktirikan oleh kerajaan Selangor yang diterajui PKR yang didakwanya telah menahan peruntukan kepadanya sejak bulan Mac. Beliau mendakwa, kerajaan negeri enggan menyelaraskan dengan beliau pemberian peruntukan tetapi sebaliknya, bertindak membuka pusat perkhidmatan yang berasingan di Pandamaran Indah untuk berurusan dengan pengundi di situ.

Tindakan itu, katanya, seolah-olah menganaktirikan dirinya berbanding dengan ADUN yang lain.

Badrul juga menyifatkan tindakan itu sebagai satu percubaan untuk meminggirkannya sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

Bila ditanya teorinya mengapa beliau 'dianaktirikan', Badrul menjawab: "Tanyalah menteri besar".

Awal tahun ini, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa setiausaha politiknya, Nik Nazmi Nik Ahmad telah mengambil alih tugas Badrul yang didakwanya gagal menunjukkan prestasi yang baik.

Nik Nazmi juga merupakan ADUN Seri Setia.

Ditanya mengenai dakwaan beliau tidak menunjukkan prestasi yang baik, Badrul berkata, ia kerana peruntukan tidak disalurkan kepadanya tetapi diambil alih oleh setiausaha menteri besar, di samping wujudnya dua pusat perkhidmatan di kawasan.

Oleh itu, katanya, bagaimanakah beliau hendak memberi perkhidmatan kepada rakyat, sementelah pula beliau juga bukan exco kerajaan negeri.

"Saya masih keluar jumpa rakyat. Saya orang yang tak suka diraikan, berkompang kompang, bunga mangga. Saya tak suka. Saya keluar dengan pemandu saya untuk tengok keadaan di kawasan saya," katanya.

Sejak kerajaan Pakatan Rakyat di Perak digulingkan Februari lalu, khabar angin bertiup kencang bahawa Badrul akan keluar parti untuk menyertai Umno.

Khabar angin itu bertambah kencang apabila beliau tidak menghadiri sidang DUN dan jarang dilihat di khalayak ramai.

Bagaimanapun, Badrul ketika itu mengeluarkan kenyataan menegaskan komitmennya bersama PKR.

Bagaimanapun, khabar angin itu timbul semula awal bulan ini, ekoran kehadiran Badrul di rumah terbuka Hari Raya Ketua Umno Klang Datuk Mazlynoor Abd Latif dan sekaligus menimbulkan persoalan mengenai kesetiaannya terhadap parti.

Dalam sidang akhbar hari ini, Badrul duduk di sebelah bekas setiausaha PKR Selangor, Nizam Rosli, dikenalii sebagai rakan karib bekas ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Noor, yang meninggal parti itu dan menyertai Umno selepas tidak sehaluan lagi dengan Anwar.