Saturday, February 6, 2010

MENCARI SEBAB SEBENAR AJAKAN NIK AZIZ

"Lebih 50 tahun kita bertengkar dengan UMNO, 50 tahun UMNO bertengkar dengan PAS. Apa hasil?

Banyak masa habis, UMNO guna masa begitu banyak, kepakaran begitu banyak, lawan gerakan Islam yang dibawa oleh PAS, apa hasilnya?" kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Berikutan itu kata Nik Aziz, PAS dan UMNO kena duduk semeja.

Pusingan 360 darjah. Muslihat apa ini? Subhanallah!
Menteri Besar Kelantan itu sebelum ini menolak usaha kerjasama PAS dengan UMNO melalui hujahnya bahawa PAS akan masuk perangkap UMNO. Sementara kerajaan perpaduan hanyalah boneka UMNO.

Saya tidak mengatakan pelawaan Mursyidul Am PAS itu tidak baik untuk umat Islam dan Melayu di Malaysia.
Cuma pelik sedikit nada Nik Aziz ini selain dalam mengajak untuk duduk semeja, Nik Aziz terus kutuk UMNO.

Terkejut kerana pada ketika Nik Aziz ajak untuk berbincang, beliau masih mengatakan UMNO menentang gerakan Islam PAS. Apakah PAS tidak menentang gerakan Islam UMNO?
Gerakan Islam oleh UMNO bukan sahaja diangggap ‘tidak setaraf’ gerakan Islam PAS malah ia tidak bernilai langsung – tidak layak untuk masuk syurga!

Juga terkejut ialah kerana sebelum ini beliaulah paling lantang menentang sebarang usaha mengadakan rundingan dengan UMNO.

Namun semalam nada beliau agak berbeza sama sekali.
Menurut laporan Utusan Malaysia, bercakap selepas menutup Seminar Pemikiran Islam Semasa - Pemakaian Kalimah Allah di Kota Bharu, Nik mencadangkan PAS dan UMNO duduk semeja.

Ia bertujuan mengadakan perbincangan menamatkan perseteruan lebih 50 tahun antara kedua-dua parti dokongan orang Melayu itu.

Persoalan asasnya ialah perseteruan itu dibuat oleh siapa? UMNO atau PAS yang sering mahu berseteru dan menganggap saingannya sebagai seteru?

Siapa yang mengkafirkan sesama Islam?

Siapa yang mengatakan mereka lebih Islam dan siapa pula yang menganggap ‘syurga’ itu milik penyokong dan mereka yang mengundi PAS?
Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau rasa amat gembira jika soal perbincangan yang menjadi isu bermusim itu menjadi kenyataan.

"Ia kerana selama ini banyak masa, wang dan tumpuan dihabiskan kerana pertengkaran yang tidak membawa apa-apa faedah," katanya.
Menurut beliau, jika majlis perbincangan antara pemimpin berlainan agama boleh dilangsungkan dengan baik, maka tidak ada masalah untuk PAS dan UMNO - yang sama- sama Islam - duduk berbincang.

"Saya bersyukur kepada Allah kita berjaya mengadakan seminar mengenai penggunaan kalimah Allah hari ini. Saya datang hanya untuk menutup majlis, tapi saya sangat gembira kalau boleh majlis macam ini dibuat antara PAS dengan UMNO.
Ujar Nik Abdul Aziz, PAS adalah sebuah parti yang ditubuhkan oleh alim ulama dalam UMNO sendiri dan adalah tidak wajar perseteruan yang ada terus menerus berlaku.

"Tolong fikirlah, 50 tahun UMNO bertengkar dengan PAS dan PAS ini dibuat oleh alim ulama UMNO,’ katanya.
Salah UMNO lagi. Dalam beliau mengajak untuk duduk semeja, Nik Aziz memulakan langkah pertamanya dengan terus menyalahkan alim ulama UMNO.

Apakah alim ulama PAS semuanya maksum?

Kata Nik Aziz: "Pada 1946, semua orang Melayu bersama UMNO tok gurunya, cikgunya, pelajar, tetapi pada 1951, alim ulama keluar daripada UMNO dan buat parti baru namanya PAS, Persatuan Islam Se-Tanah Melayu kemudian berubah jadi Parti Islam Se-Malaysia.
"Jadi apa pentingnya UMNO bertengkar dengan PAS, sedangkan PAS bawa Islam. SelePAS kita mati, Melayu tidak ada guna, Cina tak ada guna, Arab tak ada guna.., yang guna Islam dan bertakwa kepada Allah," katanya.

Jelas beliau, jika isu pembangunan yang menjadi punca UMNO memusuhi PAS, ia tidak sepatutnya berlaku kerana beliau mendakwa PAS juga membawa pembangunan kepada negeri yang diperintah.

Nik Abdul Aziz berkata, sehubungan itu beliau meminta tokoh-tokoh UMNO agar menimbangkan permintaannya itu.

Mungkin sudah masak dengan gelagat Nik Aziz untuk berdamai dengan UMNO, ajakan itu dianggap banyak pihak hanyalah 'gula-gula' untuk terus menuntut royalti minyak bagi negeri Kelantan.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohamed Mustapha Ishak berkata, selain itu, tindakannya juga mencerminkan keresahannya untuk menutup kemelut politik dalam pakatan pembangkang.

Menteri Besar Kelantan itu, katanya, sebelum ini dengan tegas mahu memperkukuhkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, justeru tidak mungkin sewenang-wenangnya beliau mahu menamatkan perseteruan itu.

''Sukar untuk mentafsir Nik Abdul Aziz, kerana beliau boleh membuat pusingan sehingga 360 darjah untuk membuat sebarang keputusan.

''Sememangnya kita terkejut dengan cadangannya semalam, tidak ada ribut dan angin tiba-tiba ubah pendirian sedangkan selama ini beliau yang menjadi penghalang besar untuk PAS dan UMNO berdamai,'' katanya.

Menurut Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, cadangan pemimpin paling popular dalam PAS itu telah menimbulkan kemusykilan banyak pihak.

''Nik Aziz benar-benar memeningkan kepala ramai orang, dia sudah tidak tahu apa dia sendiri cakap, adakah ini strateginya untuk tarik sokongan atau pun sebaliknya, kita belum PASti.

''Pendirian beliau tidak menentu, dulu siap letakkan syarat jika UMNO mahu duduk semeja dengan PAS, tapi semalam tiada sebarang syarat pula, apa sebenarnya beliau mahukan,'' katanya.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Tan Sri Abu Zahar Ujang pula mengalu-alukan cadangan baik Menteri Besar Kelantan itu.

Beliau berharap, kali ini Nik Abdul Aziz benar-benar ikhlas dengan apa yang diperkatakannya itu.

''Kita minta supaya Nik Abdul Aziz tidak mempolitikkan cadangannya itu kali ini kerana jika tidak, beliau akan memburukkan imejnya sendiri sebagai guru agama yang disegani.

''Di pihak UMNO, saya merasakan mereka dari awal telah menunjukkan keikhlasan untuk sentiasa bersedia berunding dengan PAS tetapi kali ini terpulang kepada UMNO untuk mentafsir bahawa ia sebagai satu muslihat atau sebaliknya,'' kata beliau.

Bagi saya, pelawaan Nik Aziz ini bolehlah dianggap sebagai ajak-ajak ayam yang beliau sendiri tahu bahawa UMNO tidak mungkin melayannya.

Ia dibuat hanya untuk tujuan dan kepentingan politik PAS Kelantan. Kalau UMNO termakan ajakannya, ia akan memberikan keuntungan mutlak kepada PAS dan jika tidak dilayan ia akan digunakan dalam ceramah PAS bahawa UMNO tidak terima ajakan PAS untuk berbincang demi Islam.

Kalaupun ada yang tertarik dengan ajakan ini mungkin Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed seorang sahaja) kerana pendekatannya yang ‘sejuk’ dengan PAS dengan harapan PAS tidak menyerang UMNO atau beliau sendiri.

Tetapi hakikat sebenar ajakan Nik Aziz ini sendiri pun sebenarnya ‘panas’ dengan pandai-pandailah UMNO Kelantan menepis ceramah PAS yang akan bertubi-tubi menyerang UMNO gara-gara pelawaan politik dan bermakna oleh Nik Aziz itu.

Inilah sebenarnya tawaran terbaru Nik Aziz yang sebetulnya memberikan keuntungan kiri dan kanan kepada PAS, khususnya di Kelantan.

Jika UMNO tersilap langkah, lebih mudah untuk PAS menghumban UMNO gara-gara termakan pancingnya!

PAS MENANG PILIHAN RAYA BUKAN KERANA AHLI

UMNO menyasarkan keahlian kira-kira empat juta orang menjelang pilihan raya umum akan datang.

Harapan UMNO ialah dengan keahlian yang ramai, ia mampu menang cemerlang pada pilihan raya jika diadakan.

Usaha ini sewajarnya dipuji tetapi pada masa yang sama, UMNO juga perlu menilai kualiti ahlinya!

Kita tidak tahu jumlah sebenar ahli PAS. Pada kempen Disember 2008 lalu, parti itu hanya menyasarkan 100,000 ahli sahaja.

Menurut laporan Harakah 28 Disember 2008, Dewan Pemuda Pas dengan kerjasama Lajnah Pemerkasaan Parti pada hari itu telah menganjurkan satu kempen yang dikenali ' Jom Sertai Pas'.

Kempen turut mengalakkan golongan muda agar mendaftar sebagai pemilih berdaftar untuk Pilihanraya Umum ke-13.

Ia dilancarkan secara rasmi oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pengarah kempen ini, Ahmad Subki Yusuf yang juga merangkap Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat berkata PAS mensasarkan jumlah ahli sebanyak 100,000 orang.

"Semua ini adalah terdiri daripada Ahli Pas dan Ahli Kelab Penyokong Pas baru dan pelbagai aktiviti akan digerakkan untuk menambahkan lagi keahlian baru," katanya.

Yang pasti jika dilihat kepada jumlah ahli PAS, ia tidak akan mampu memang besar pada pilihan raya ke 12 lalu sekiranya berdasar kepada jumlah ahli yang menyokong PAS.

Namun bagaimana PAS boleh membentuk kerajaan di Kedah, selepas Kelantan?

Apakah PAS bergantung kepada jumlah ahlinya?

PAS menang pilihan raya kerana rakyat percaya parti itu mampu memperjuangkan kepentingan mereka.

Sedangkan ketika ahli PAS hanya 100,000 dan ahli UMNO dilaporkan berjumlah dua juta, UMNO kecundang besar di beberapa kawasan yang ditandinginya, khususnya di Selangor, Kedah dan Kelantan.

Menarik juga apabila Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sehubungan dengan usaha menjadikan ahli UMNO sebanyak tiga juta orang, semua sayap dan bahagian UMNO di seluruh negara perlu lebih agresif menambah keahlian baru supaya sasaran itu menjadi kenyataan.

"Kita juga akan menggunakan landasan yang lebih luas meliputi Barisan Nasional (BN). Maknanya bukan parti UMNO sahaja tetapi melibatkan parti-parti komponen BN lain," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Program UMNO Pilihanku sempena Kempen Penambahan Ahli dan Daftar Pemilih Pergerakan Pemuda UMNO di Simpang Empat Kerpan, semalam.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Mohd. Shafie yang juga merupakan Pengerusi Biro Penambahan Ahli UMNO berkata, beberapa negeri seperti Kedah perlu melakukan gerakan yang lebih meluas bagi menambah ahli dan mendaftarkan mereka sebagai pemilih.

Persoalan ialah, keahlian yang macam mana cuba diwujudkan oleh UMNO?

Apakah ia ahli UMNO yang komited dan mengundi UMNO/BN?

Atau UMNO memiliki ahli yang ramai tetapi tidak ambil berat mengenai pilihan raya atau ahli UMNO yang langsung tidak peduli untuk mengundi?

Lebih buruk lagi jika ada ahli UMNO yang sabotak, cah keting dan sebagainya ketika pilihan raya.

Jika bersikap demikian, lebih baik UMNO mempunyai ahli yang tidak terlalu ramai tetapi benar-benar kerja untuk pilihan raya.

Tidak wajar UMNO mempunyai ahli yang jenis ‘mencari rezeki’ ketika musim pilihan raya!