Saturday, October 9, 2010

UMNO CUBA BUNUH KARIER POLITIK TENGKU RAZALEIGH?

Sebuah blog proPAS di Terengganu melalui entrinya pada Sabtu 2 Oktober 2010 mengatakan UMNO sedang ‘Cuba Bunuh Tengku Razaleigh’ dengan meletakkan beliau sebagai calon pada pilihan raya kecil DUN Galas yang akan diadakan 4 November depan.

Naib Presiden PAS Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan tindakan Umno menawarkan calon kepada Ahli Parlimen Gua Musang sebagai satu tindakan 'pembunuhan secara halus' karier politik Tengku Razaleigh Hamzah.

"Saya fikir itu pembunuhan secara halus karier politik Tengku Razaleigh (Hamzah), walau bagaimana pun, bagi PAS, kita sedia hadapi siapa sahaja calon (yang dinamakan oleh BN)

"Cuma (Tengku Razaleigh) sebagai seorang veteran dalam parti (Umno) dan meletakkan Tengku Razaleigh (sebagai calon) dalam pilihanraya kecil dalam DUN saya fikir itu merupakan tindakan dari sudut politik jangka panjang, bukan satu tindakan yang betul,"ujar Dato' Tuan Ibrahim.

Beliau mengulas cadangan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin yang mahu mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon BN bagi DUN Galas.

Pilihan raya kecil kerusi DUN Galas diadakan berikutan kematian Che Hashim Sulaima, 45, dari PAS, dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Oktober sebagai tarikh penamaan calon, manakala pengundian pada 4 November.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim memperoleh 4,399 undi mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Walau bagaimana pun, menurutnya, PAS sedia berhadapan dengan siapa sahaja yang dicalonkan oleh Umno dan BN, meskipun Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak.

Persoalannya, untuk apa PAS beria-ia kononnya membela Tengku Razaleigh sedangkan UMNO merasakan pemimpin berpengalaman itu boleh menyumbangkan tenaganya bagi membawa satu arus baru politik Kelantan untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Tengku Razaleih sendiri sudahpun menyatakan persetujuannya menerima pelantikan sebagai pengarah pilihan raya BN/UMNO bagi Dewan Undangan Negeri Galas.

Beliau berkata demikian setibanya daripada bercuti di luar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pagi ini.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan sama ada menerima tawaran sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu hanya akan diputuskan Isnin ini apabila mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Lihatlah betapa matangnya politik Tengku Razaleigh dan cara pembangkang termasuk blog pro PAS yang cuba spin pelbagai cara untuk menyekat Tengku Razaleigh menerima ‘tugas’ itu tidak berhasil.

Muhyiddin pula ketika bercakap di Sysdney semalam berkata beberapa nama yang difikir layak sudah diperoleh untuk ditimbang dan diputuskan oleh Najib dan pengumuman calon BN itu akan dibuat di Galas atau Gua Musang.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata bagi tujuan tersebut segala maklumat mengenai latar belakang personaliti yang dianggap sesuai itu sudah diperolehi.

"Hal ini akan diputuskan Perdana Menteri selepas mendapat pandangan daripada Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan pemimpin Umno Kelantan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pelajar serta pemimpin Kelab Umno Australia dan New Zealand di bandaraya itu.

Ini bermakna calon bagi DUN Galas akan diumum pada 24 Oktober ini, iaitu dua hari sebelum hari penamaan calon.

Muhyiddin berkata apa yang penting ialah calon BN itu mestilah mengenali pengundi, mempunyai rekod perkhidmatan yang baik, berhemah, berakhlak dan sudah lama berkecimpung dalam bidang politik.

Katanya BN akan menghadapi apa saja isu yang dibangkitkan pembangkang termasuk mengenai wang ihsan serta royalti minyak, dan semuanya akan dihadapi dengan mengambil pendekatan bersemuka, semua isu dijelaskan, tiada apa yang diselindungkan.

Beliau berkata sebahagian besar tugas membuat persiapan dalam menghadapi pilihan raya kecil itu diserahkan kepada Tengku Razaleigh kerana Anggota Dewan Undangan Negeri Gua Musang itu sangat berpengaruh dan berpengalaman.

Ditanya kemungkinan PAS meletakkan calon daripada masyarakat Orang Asli Muhyiddin berkata, BN tidak pernah merendahkan kewibawaan calon lawan dan menganggap setiap pilihan raya itu penting.

"Itu terserah kepada mereka, yang penting calon BN. Calon mereka, hak mereka. Kami tak kisah mereka boleh letak siapa calon tapi yang penting pengundi sedia menerima calon itu atau tidak," katanya.