Sunday, August 14, 2011

PAS SEBENARNYA ‘MENGATA DULANG, PAKU SERPIH’

Pembangkang, khususnya PAS bukan sahaja melakukan pembohongan, tuduhan palsu dan mencemarkan nama UMNO , Barisan Nasional dan Suruhanjaya Pilihan (SPR) tetapi lebih jauh sengaja memperkecil dan merendahkan martabat rakyat Malaysia sendiri apabila meletakkan mereka yang sudah diiktiraf kerakyatan sebagai ‘pendatang asing’.

Apa perasaan kita sebagai rakyat Malaysia jika ada mengatakan kita tidak layak mengundi kerana bukan berasal dari negara ini sebaliknya masih rakyat Indonesia, India, China, Iran, Saudi atau sebagainya?

Tidak berkecil hatikah kita? Tidak marahkah kita?

Jadi tidakkah layak warganegara Malaysia sendiri mengundi?

Tanpa PAS sedari atau sengaja ‘bangang’, beberapa pemimpin PAS sendiri amat tahu yang ramai anggota dan pengundi PAS pada kedudukan yang sama. Mereka bagaikan ‘buta dan tuli’ terhadap apa yang sudah mereka sendiri lakukan.

Mengata dulang, paku serpih, mengata orang, sebenarnya PAS yang lebih…

PAS sengaja menimbulkan perkara tersebut kerana terdesak demi mendapatkan undi orang Melayu, Islam dan bukan Melayu kerana bimbang perjuangan baru mereka – negara kebajikan tidak mendapat sambutan.

PAS yang silap menukar perjuangan dan lebih buruk apabila Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan negara Islam tidak ada dalam al-Quran, mereka semakin gelabah dan berusaha menutup kelemahan.

Perjuangannya yang bertukar daripada mahu mewujudkan negara Islam kepada negara berkebajikan kerana tahu DAP dan sekutu bukan Melayu dan bukan Islam sedang mengasak mereka, menyebabkan ada sahaja perkara yang cuba mengelirukan rakyat.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Abdul Wahid Endut berkata, seramai 5,006 bangsa asing kebanyakannya keturunan Myanmar didapati tersenarai sebagai pengundi iaitu 1,239 di Dun Kijal dan 529 di Air Putih termasuk 43 daripadanya dikesan tiada rekod dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sebaliknya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menegaskan pada hakikatnya yang menipu rakyat adalah PAS.

Ahmad Said berkata, buktinya pada 1995, PAS membawa masuk seramai 979 pengundi dari kawasan lain (termasuk dari Dewan Undangan Negeri (Dun Kemasik) ke Dun Kijal.
Berdasarkan semakan terdapat kira-kira 1,200 pemilih di Rusila, Marang adalah pengundi luar iaitu dari Johor, Selangor dan Pahang.

“Saya ada bukti PAS membawa masuk pengundi luar di DUN Kijal pada 1995 kerana waktu itu saya jadi penolong pegawai daerah dan saya jaga pemilih, jadi PAS jangan nak kelirukan rakyat,” katanya.

Ahmad Said turut mempersoalkan mengapa perkara mengenai pengundi bangsa asing tidak dibangkitkan pada pilihan raya umum terdahulu seolah-olah pembangkang ketandusan isu.

“Kalau undi tidak adil bagaimana PAS dapat menang dalam pilihan raya umum pada 1999 di Terengganu, di Kelantan pembangkang berjaya kekalkan kemenangan hingga 20 tahun, selain menang di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor pada pilihan raya umum lalu,?” tanya beliau.

“Kebajikan apa yang mereka mahu buat? Semua kebajikan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah lakukan jadi sekarang mereka sengaja cari salah orang lain (Kerajaan Umno dan BN) kononnya undi tidak bersih dan pengundi bukan warganegaralah.

“Sebenarnya mereka (pengundi yang didakwa warga asing) sudah berada di negeri ini lebih 20 tahun, malah sebelum saya menjadi wakil rakyat lagi mereka sudah mengundi.

“Memang kita ada beri kerakyatan kepada orang Rohingya, Kemboja, Myanmar menjadi pelarian yang asalnya orang Malaysia dikerah membuat jambatan maut waktu zaman British dan pendudukan Jepun di negara ini dulu.

Mereka ini semua kita bawa balik dan beri kerakyatan, memang kebanyakan mereka dari Kedah,” katanya di Kemaman, semalam.

Berikutan itu beliau menyangkal pendedahan PAS Terengganu yang mengesan ribuan warga asing memiliki kad pengenalan mendaftar sebagai pengundi di beberapa kawasan di negeri itu.

Malah, tuduhan PAS itu disanggah oleh Pengarah Pilihan raya negeri, Mohd Noor Daud apabila meminta PAS kemukakan bukti dakwaan.

Hakikatnya, Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) bersedia memotong nama mana-mana rakyat asing yang dikatakan tersenarai sebagai pengundi di negeri ini. Kerana itu PAS tidak wajar menuduh sembarangan, sebaliknya mengemukakan bukti kukuh, bagi membolehkan SPR bertindak dan menyemak bagi melihat kebenarannya.

Hakikatnya, ramai yang tersilap dan menganggap semua bangsa asing sebagai ‘orang luar’ sedangkan ramai antara mereka sudah lama menetap dan menjadi warganegara Malaysia.

“Kita hanya menerima warganegara Malaysia sebagai pengundi. Mungkin dulu mereka warganegara Myanmar, India, China dan sebagainya tetapi hanya setelah disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bahawa mereka ini sudah menjadi pemastautin dan warganegara, barulah mereka diterima.

“Kebanyakan mereka (warga asing) yang sedia ada di negeri ini sudah lama, malah ada yang menetap sejak tahun 1970-an lagi. Jadi saya tidak melihatnya sebagai isu kerana mereka sudah menjadi warganegara,” katanya kelmarin.

Yang nyata seperti kata Ahmad Said, PAS kini tertekan sehingga membangkitkan isu pengundi warga asing di negeri ini sedangkan pengundi warga Myanmar yang dimaksudkan sebenarnya asal dari Malaysia yang menjadi pelarian ketika zaman British puluhan tahun lalu.

Beliau berkata, isu ini bukan baru tetapi disedapkan halwa telinga kerana semakin dekat dengan pilihanraya.

Sebab lain ialah PAS terperangkap dengan strategi silapnya akibat taksub dengan keinginan untuk ke Putrajaya bersama sekutu bukan Melayu dan bukan Islamnya!