Friday, February 10, 2012

NAJIB LAKUKAN PERBUATAN SYIRIK, KUFUR DAN ROSAK AKIDAH?

Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan khufur yang boleh merosakkan akidah.Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang,” - Harussani Zakaria

Kelmarin merupakan kali ketiga Perdana Menteri mengunjungi Batu Caves sempena Perayaan Thaipusam sejak 2010.

Wajarkah Datuk Seri Mohd Najib ke perayaan itu? Atau dia jenis 'Pekak Badak' dan tidak dengar nasihat?

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa terkilan dengan sikap Najib yang “menggadai akidah” apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves kelmarin.

Sebagai perdana menteri, Najib sepatutnya sedar dan menghantar wakil. Saya sudah tegur perkara ini setiap tahun namun tidak dipedulikan,” katanya menambah Najib wajar mencontohi sikap perdana menteri terdahulu yang menghantar wakil masing-masing.

Pada 7 Februari lalu, Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves selain turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM2 juta untuk membina pusat kebudayaan di kawasan itu.

Najib yang lengkap berpakaian Kurta berwarna kuning muda ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan Hari Thaipusam.

Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun perdana menteri itu seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.

Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan khufur yang boleh merosakkan akidah.Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang,” kata Harussani menambah tiada halangan sekiranya menghadiri majlis rumah terbuka tetapi bukan upacara keagamaan.

“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.

“Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.

“Kita tidak boleh sambut (perayaan agama lain), mereka lakukan upacara keagamaan dan kita sebagai umat Islam tidak boleh hadir... itu upacara ibadat mereka,” tegas Harussani.

Hmmm pening lagi nih!

JUMLAH DAGANGAN 2011 CECAH RM1.3 TRILION, USAHA TOK PA BERBALOI

Suatu malam Mei tahun lalu di Kota Bharu, di hotel yang menjadi kegemaran kepada Tok Pa (Datuk Sri Mustapa Mohamed) menginap, saya berbual agak panjang dengan Ahli Parlimen Jeli itu.

Bukan mudah untuk duduk setengah jam dengan beliau. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pulak tu.

Orang selalu mengatakan paling lama dengan Tok Pa hanya 15 minit.

Tetapi entah mengapa malam itu beliau seperti mahu ‘mencurahkan perasaan’ atau melepaskan yang terbuku di hatinya.

Saya asyik-asyik menoleh ke kanan takut-takut kalau orang yang menunggu ‘mula bengang’ dengan saya.

Tapi Tok Pa kata ‘dia nak cakap panjang sikit dengan saya malam itu’.

Lebih mengejutkan saya apabila beliau mengarahkan ‘anak buahnya’ mengambil gambar dan masukkan dalam facebook pertemuan kami ini.

Sebenarnya selepas lebih 10 tahun, malam itulah masa paling lama saya duduk dengan Tok selepas kami ‘berpisah’ dari Ibu Pejabat UMNO.

Ketika beliau menjadi Ketua Penerangan UMNO, saya adalah pegawai di Ibu Pejabat UMNO (tingkat 37) dan kemudian Pengarang Akhbar Wawasan Merdeka –akhbar rasmi UMNO - hingga tahun 2001.

Banyak perkara mengenai UMNO Kelantan, UMNO Terengganu dan soal-soal politik peringkat nasional dibincangkan tetapi yang menarik ialah mengenai peranan beliau sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Kata Tok Pa, mengambil alih jawatan yang pernah disandang begitu lama oleh Datuk Seri Rafidah Aziz memang sakit. Seperti juga mungkin Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir.

Legasi Rafidah begitu menyerlah dan keadaan ekonomi sejak 2008 hingga 2010 amat perit khususnya pada peringkat antarabangsa.

Apabila Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Razak menyerahkan jawatan itu kepadanya, beliau merasakan ia suatu cabaran besar kerana membabitkan usaha menjual Malaysia dan menarik pelaburan asing ke negara ini.

Pada ketika yang sama akibat kemerosotan sokongan rakyat pada pilihan raya umum 2008, menyebabkan pembangkang menggunakan isu, termasuk kemasukan pelaburan asing yang agak perlahan ketika itu sebagai alasan menyerang kerajaan.

“Saya berusaha bersungguh-sungguh dan berharap hasilnya akan dapat dilihat sebelum pilihan raya umum akan datang,” kata beliau.

Sambil makan – berselera sungguh beliau makan malam itu kerana katanya terlepas makan tengah hari di Kuala Lumpur dan tiba di Kota Bharu sudah lewat petang – Tok Pa juga meminta pendapat saya mengenai pemerhatian terhadap UMNO Kelantan.

Saya bukanlah pakar mengenai UMNO Kelantan kerana berkhidmat dengan UMNO Negeri itu pun tidak lama hanya dua tahun iaitu dari pertengahan 2006 hingga 2008.

Namun mungkin kerana saya sering turun ke setiap jajahan (daerah) dan bahagian, beliau mahu mendapatkan sedikti maklumat untuk beliau sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan.

Saya tidak banyak pengalaman kerana hanya bertugas ketika Tan Sri Annuar Musa menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan dan Datuk Dr Awang Adek Husin sebagai timbalannya.

Kebetulan pada pilihan raya umum 2008 saya bertugas di Kelantan dan sempat bertemu Tok Pa beberapa kali di Jeli dan Kota Bharu, itupun tidak lama – lima enam minit sahaja.

Namun semalam (9 Februari 2012) saya merasa begitu gembira dan bangga apabila Tok Pa mengumumkan bahawa Malaysia mencatatkan jumlah dagangan paling tinggi tahun lepas iaitu RM1.3 trilion, naik 8.7 peratus daripada 2010.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata beliau menyasarkan pertumbuhan antara lima dan enam peratus untuk jumlah dagangan Malaysia tahun ini.

Ini bukan cerita ‘dongeng’ dan pembangkang tidak boleh nak spin merata kerana Laporan Buku Tahunan Daya Saing Dunia 2011 oleh Institut Pembangunan Pengurusan menempatkan Malaysia dalam kedudukan lima teratas dari segi perdagangan antarabangsa.

Negara kita berada selepas Singapura dan Hong Kong, melepasi Amerika Syarikat, Switzerland, Australia, Kanada dan United Kingdom.

Tok Pa berkata eksport mengembang 8.7 peratus kepada RM694.55 bilion tahun lepas manakala import meningkat 8.6 peratus kepada RM574.23 bilion.

Lebihan dagangan meningkat 9.4 peratus kepada RM120 bilion. Ini merupakan yang ke-14 tahun berturut-turut dicatatkan oleh negara sejak 1998.

Tok Pa berkata permintaan untuk pengeluaran dan barangan pengguna dari pasaran Asia telah merancakkan sumbangan sektor ini sebanyak 71.3 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.

Eksport ke Asia mengukuh 11.2 peratus kepada RM495.19 bilion dalam 2011.

"Dalam tempoh lima tahun, penguasaan eksport ke Asia meningkat lapan peratus daripada 63 peratus pada 2007, seiring dengan rantau ini menjadi pusat pertumbuhan ekonomi baharu dunia," kata Mustapa hari ini ketika mengumumkan prestasi perdagangan Malaysia untuk tahun lepas.

Barangan perkilangan sekali lagi menjadi penyumbang utama, menguasai 67.7 peratus atau RM470.3 bilion daripada jumlah eksport, kata beliau.

Tok Pa turut menjelaskan, China, untuk kali pertamanya, muncul sebagai pasaran eksport terbesar Malaysia pada tahun 2011, dengan eksport ke negara itu mengembang 13.9 peratus kepada RM91.25 bilion.

Kira-kira 70 peratus daripada eksport ke China ialah barangan perkilangan dan ia terdiri terutamanya kimia dan bahan kimia, produk getah, produk elektrik dan elektronik, barangan perkilangan logam, makanan diproses dan produk petroleum.

Sementara itu, eksport ke Asean menguasai 25 peratus daripada jumlah eksport Malaysia dengan pertumbuhan 5.8 peratus dicatatkan pada 2011 kepada RM171.54 bilion.

Walaupun dengan ketidaktentuan di zon Euro, eksport Malaysia ke semua pasaran utama Kesatuan Eropah, kecuali Belanda dan United Kingdom, mencatatkan peningkatan tahun lepas.

Eksport ke EU menambah 4.7 peratus kepada RM71.95 bilion dengan minyak sawit menguasai eksport terbesar, mencatatkan peningkatan 31 peratus kepada RM6.88 bilion.

Pasaran pertumbuhan utama Malaysia pada 2011 ialah Indonesia, Nigeria, Bangladesh, Arab Saudi, Belgium dan Jerman di mana eksport mengembang lebih daripada RM1 bilion untuk setiap negara.

Memanglah pencapaian ini bukan kerana titik peluh Tok Pa seorang tetapi setidak-tidaknya beliau kini boleh menarik nafas lega kerana kebimbangan yang diluahkan itu kini mendatangkan hasil yang memberangsangkan.

Pastinya beliau mendapat sokongan yang baik daripada pegawai kita diluar negara sama ada di bawah MITI, Matrade atau kedutaan kita yang berusaha keras bersama beliau.

Tidak ketinggalan, rombongan pelaburan Perdana Menteri turut membantu Tok Pa untuk melaksakan tugasnya dan tindakan susulan yang dilakukannya banyak mendatangkan kesan besar kepada pelaburan dan perdagangan.

Di sebalik kesibukannya ke luar negara, Tok Pa pada hari ini, esok serta Ahad mungkin sibuk pula di Kelantan, khususnya di Parlimen Jeli.

Ini kerana sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan dan Ahli Parlimen Jeli, rakyat di kawasan juga perlu diberikan tumpuan selain usaha untuk meyakinkan rakyat Kelantan memilih Barisan Nasional .

Amatlah rugi bagi Kelantan dan rakyatnya jika Tok Pa dibiarkan hanya berkhidmat di peringkat nasional sedangkan Kelantan memerlukan pelbagai bentuk pembangunan untuk kesejahteraan rakyat selain meningkatkan lagi dayamaju rakyat negeri itu yang terkenal dengan bidang perniagaan, pertanian dan keusahawanan.

Dengan potensi dan keupayaan yang ada pada Tok Pa, Kelantan di bawah Barisan Nasional akan lebih bergerak maju dan mampu mencapai kemajuan setanding dengan negeri maju di Pantai Barat.

PAS MUDAH DITUNGGANGI, PAKATAN PEMBANGKANG TIDAK SUCI, IKHLAS

"Yang kita dapat di Selangor sekarang, samalah akan terjadi di Putrajaya. Kalau mereka (pembangkang) menang atas konfigurasi komponen (parti) yang ada, tak akan adalah Negara Islam, tak akan adalah hukum hudud. Begitu juga pelaksanaan Islam dalam ekonomi, sosial, pertanian dan dasar luar negara. Jadi bila gabung dengan DAP dan PKR, PAS tak boleh lagilah dengan negara Islam. Ketua Umum PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun tak berminat." - Dr Hasan Ali

PAS sanggup melupakan segala-gala disebabkan tarikan ke Putrajaya yang sangat kuat.

Selain itu PAS terus digula-gulakan dan dikipas oleh pemimpin parti pembangkang, dan banyak kepimpinan PAS sekarang rela memejamkan sebelah mata walaupun mereka mungkin sedar PAS sedang diperalatkan oleh rakan pakatan untuk mencapai cita-cita itu.

Sebaliknya jika ke Putrajaya sekalipun, akan berlaku perebutan kuasa antara PAS, DAP dan PKR dalam kementerian-kementerian penting.

Bekas naib presiden PAS Datuk Dr Hasan Ali, berkata dalam pakatan pembangkang pun tak kukuh kerana ini sekadar gabungan tidak kukuh, dan bukannya desakan kemahuan ikhlas dan suci untuk mendaulatkan Islam.

Beliau berkata apa yang dijanjikan oleh PAS kepada masyarakat Islam di negara ini sebelum ini adalah penubuhan sebuah Negara Islam tetapi impian itu sudah mustahil untuk dicapai apabila pakatan pembangkang ditubuhkan dan PAS, atas pertimbangan kepentingan politik semata-mata, telah menyertainya.

"Yang kita dapat di Selangor sekarang, samalah akan terjadi di Putrajaya. Kalau mereka (pembangkang) menang atas konfigurasi komponen (parti) yang ada, tak akan adalah Negara Islam, tak akan adalah hukum hudud. Begitu juga pelaksanaan Islam dalam ekonomi, sosial, pertanian dan dasar luar negara. Jadi bila gabung dengan DAP dan PKR, PAS tak boleh lagilah dengan negara Islam. Ketua Umum PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun tak berminat.

"Saya baru 15 tahun dalam PAS. Saya masuk PAS kerana saya nak Islam dan kepimpinan ulama iaitu 'tagline' PAS. Itu sebab utama saya masuk PAS. (Tapi) kepimpinan ulama tidak lagi dominan. Negara Islam tak ada lagi, jadi saya nak bergantung ke mana?" katanya.

Beliau juga berkata kepimpinan PAS perlu berubah dan membuat 'islah' kerana pelbagai prinsip di dalam parti itu dilihatnya sudah tidak betul.

Dr Hassan memberi contoh, beliau dimaklumkan oleh rakan-rakan dalam parti bahawa apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi berbahas di Parlimen, tidak ramai yang berada di kerusi mereka tetapi berbeza apabila Anwar yang berucap, itu pula yang diberi perhatian penuh.

"Takkan kita dalam PAS, kesetiaan kita adalah kepada orang lain pula. Pada saya ini prinsip yang sangat tak betul. Prinsip berjemaah tak betul, prinsip berketua tak betul dan prinsip pengikut tak betul. Akhirnya prinsip mengurus organisasi tak betul dan ini yang berlaku sekarang.

"Saya dah gambarkan sebelum ini selePAS menjadi kerajaan di Selangor selama tiga tahun dan 10 bulan dengan melihat semula kekuatan, kelemahan dan peluang. Saya boleh senaraikan 20 kelemahan tetapi pakatan pembangkang tak buat dan tak berani buat," katanya.

Hasan juga membidas Anwar kerana suka menimbulkan reaksi masyarakat dengan mengadakan demonstrasi. "Bukan tak bagus demonstrasi tapi bukan semuanya sesuai untuk demonstrasi. Akhirnya (negara) akan jadi anarki dengan masing masing mentafsir berdasarkan pemikiran masing-masing. Itupun perlu mengikut kehendak syariat," katanya.

Beliau mengakui diberitahu bahawa di dalam pakatan pembangkang apa juga perkara perlu dirujuk kepada Anwar dan akhirnya akan berlaku amalan autokratik dan dengan itu senang untuk 'menunggangi' PAS. "DAP tak mudah ditunggangi," katanya.

Kerana itu bagi Dr Hassan, beliau rela dipecat daripada parti itu 8 Januari lePAS dengan memberikan lima sebab kenapa beliau rela dilihat berpatah arang berkerat rotan dengan PAS.

Dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama, Hasan menggariskan sebab-sebab itu ialah:

- PAS meninggalkan perjuangan asalnya untuk menubuhkan sebuah Negara Islam dan menggantikannya dengan Negara Kebajikan, yang boleh dilaksanakan di mana-mana negara sekular dalam apa juga sistem dan amalan politik.

- PAS sudah hilang pendirian dan ketegasan yang boleh dihormati apabila diperkotakkatikkan oleh rakan sekongkolnya dalam pakatan pembangkang khasnya DAP sehingga menolak bulat-bulat Negara Islam.

- PAS terlalu ghairah memimpikan Putrajaya sehingga mengorbankan Islam dengan bersekongkol dengan DAP yang terang merupakan musuh Islam.

- Pemikiran ulama di dalam PAS yang ada sekarang sudah "dilarutkan" dengan kehadiran sebanyak 70 peratus "parasit" di dalam kepimpinannya yang membawa kepentingan politik berlainan daripada hala tuju PAS.

- Kesetiaan wakil rakyat PAS dalam Parlimen lebih besar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi perhatian besar dan hadir dengan ramai setiap kali ketua pembangkang itu berucap sedangkan ketika Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berucap, banyak bangku yang kosong.

Dr Hasan berkata, PAS kini sudah menyimpang jauh dan terus hanyut daripada perjuangan asalnya selagi parti itu berada dalam pakatan pembangkang bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Baca dari sumber