Sunday, September 15, 2013

LUPAKAN PAS YANG GAGAL PERJUANG KEPENTINGAN ISLAM, MELAYU& RAJA-RAJA MELAYU


"Amat wajar sekali tahaluf siasi bersama PKR ini dikaji setelah berlaku perkara-perkara yang boleh melemahkan Pas dan merosakkan hubungan di dalam tahaluf siasi...Pertukaran, perebutan dan penyerahan kerusi potensi Pas kepada PKR juga antara faktor yang perlu dikaji kembali dan ia antara faktor utama yang perlu diberi perhatian"
 - Datuk Dr Harun Taib

Akhirnya PAS mengakui ia gagal meyakinkan pengundi Melayu.

Bukan sahaja gagal merangka dan membentangkan cadangan membangunkan ekonomi orang Islam, Melayu dan Bumiputera.

PAS nyata gagal dalam semua perkara, termasuk politik.

Kegagalan PAS memikat hati pengundi Melayu bermakna bahawa PAS sebenarnya gagal berperanan sebagai sebuah parti politik memperjuangkan Islam di negara ini.

Dengan perjalanan parti itu yang mementingkan kerjasama dengan bukan-Melayu secara ‘berlebihan’ membuatkan orang Melayu sedar bahawa PAS bukan wadah perjuangan mereka.

PAS sendiri semalam, mengakui ia agal memainkan peranan penting dan berkesan untuk memartabatkan bangsa Melayu dan memelihara kepentingan Islam termasuklah dalam pelaksanaan syariat Islam di Malaysia.


Kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (kiri) sewaktu menyampaikan ucaptama di Multaqa Ulamak Se-Malaysia yang diadakan di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, Alor Setar, semalam menceritakan segala-galanya.

Mutaqa Ulamak dianjurkan oleh Dewan Ulamak PAS Pusat yang berlangsung sehari suntuk semalam, menghimpunkan perwakilan ulamak dari setiap negeri. PAS akan menghadapi pemilihan pucuk pimpinannya pada muktamar yang dijadualkan November ini.

Antara yang disenaraikan terbabit dengan ucapan, perbahasan dan wacana ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Naib Ketua Dewan Ulamak, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad, Datuk Dr. Mohamad Khairuddin at Takiri, Datuk Dr. Johari Mat, Datuk Nik Zawawi Salleh, Zaharuddin Mohamad,  Mokhtar Senik dan Dr. Ahmad Nazri Mansor.

PAS dilihat ‘berlebihan’ bertolak ansur ialah apabila ia banyak ‘memejamkan mata’ dan kadangkala dilihat ‘menggadaikan’ prinsip perjuangannya demi memuaskan hati sesetengah pemimpin PAS yang melihat kuasa dan politik adalah ‘segala-galanya’.

Malah PAS membelakangkan Islam apabila sanggup menggadai maruah Islam demi kerjasamanya dengan DAP dan PKR untuk ‘ke Putrajaya’.

Kata Dr Harun, sikap toleransi berlebihan dan tidak berhati-hati PAS terhadap tawar menawar bukan Islam dan bukan Melayu juga amat meragukan pengundi Melayu terhadap kemampuan PAS dalam memelihara kepentingan mereka.

Pas telah menjalinkan kerjasama dengan DAP dan PKR secara rasminya pada 1 April 2008 di mana ia merupakan lonjakan baru bagi politik tanah air.Ketiga-tiga parti ini telah dinamakan satu parti perikatan yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat.

"Sekalipun undi Cina meningkat 14.1 peratus terhadap PAS pada PRU13 lalu, PAS tetap tidak akan dapat untuk mengukuhkan kedudukan dan pengaruhnya dalam parlimen. Adalah mustahil bagi PAS untuk terus berkembang selagi ia tidak mampu memperjuangkan haknya dalam Pakatan Rakyat bagi menambah memenangi lebih banyak kerusi parlimen, apatah lagi untuk PAS menjadi teras kerajaan Malaysia sekiranya Pakatan memerintah kelak," ujarnya.


Berikutan itu PAS Pusat digesa agar segera menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji dan menilai kemerosotan sokongan pengundi Melayu kepada PAS serta menilai kembali tahaluf siyasi.

Menurut Datuk Harun : "Amat wajar sekali tahaluf siasi bersama PKR ini dikaji setelah berlaku perkara-perkara yang boleh melemahkan Pas dan merosakkan hubungan di dalam tahaluf siasi," katanya.

Dr Harun dalam kertas ucapatamanya juga berkata, bagi melaksanakan kajian ini jawatankuasa khas perlu ditubuhkan untuk mengkaji dan menilai kemerosotan sokongan pengundi Melayu ekoran tahaluf siasi dengan erti reformasi, PKR.

"Pertukaran, perebutan dan penyerahan kerusi potensi Pas kepada PKR juga antara faktor yang perlu dikaji kembali dan ia antara faktor utama yang perlu diberi perhatian," katanya.

Amat nyata, PAS terpaksa mengkaji semula kerjasama politiknya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi memastikan hala tuju parti itu tidak tersasar daripada landasan sebenar.

Ini bukan gesaan Dr Harun semata-mata tetapi menjadi resolusi yang dicapai pada Perhimpunan Ulama Se-Malaysia berkenaan yang mencadangkan supaya Tahaaluf Siyaasi(kerjasama politik) bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat khususnya PKR disemak semula oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat. 

"Perkara ini bagi tujuan menjaga maslahah (faedah) dan membendung serta menghalangmafsadah (kejahatan) Syar'iyyah," demikian menurut resolusi berkenaan.

Amat nytara, isu kerjasama politik antara PAS dan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang pernah menjadi polemik dalam parti itu tahun lalu apabila bekas Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa mencetuskan kontroversi dengan mengeluarkan kenyataan yang mendakwa PAS sudah lari daripada matlamat asal perjuangannya.

Malah Nasharuddin yang ketika itu juga masih menjadi ahli Majlis Syura Ulama turut menggesa agar PAS mengkaji semula kerjasama mereka dalam pakatan pembangkang.

Bagaimanapun pada Muktamar PAS ke-58 di Kota Baharu November tahun lalu, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menegaskan Majlis Syura mengambil ketetapan bahawa PAS masih lagi parti yang sama sejak ia ditubuhkan.

Penegasan itu sekaligus mengukuhkan pendirian PAS untuk meneruskan kerjasama mereka dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP.

Selain sedar tentang kelemahannya mendapatkan sokongan orang Melayu, multaqa itu turut menekankan tentang hala tuju ulama haraki PAS dalam memperjuangkan Islam sebagai pemimpin politik dan cabaran serta keyakinan dalam menegakkan Islam.


Amat nyata penghakisan kuasa ulama dalam PAS sebelum ini menyebabkan multaqa berkenaan meminta supaya PAS bersetuju dua jawatan tertinggi dalam PAS dipegang oleh golongan ulama. Walaupun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu tidak mendesak anggotanya dalam menentukan siapa presiden dan timbalan presiden tetapi gesaan itu sangat signifikan.

“Kita amalkan sifat keterbukaan supaya mereka boleh menilai dan memilih sendiri siapa yang layak. Pintu untuk memegang jawatan ini tidak pernah ditutup kepada mana-mana anggota yang layak," katanya selepas majlis penutup mulataqa itu.

Ramai ahli PAS melihat PAS sepanjang dua tahun lalu terlalu fokus kepada pilihan raya dan sanggup mengetepikan golongan ulama apabila menolak Nasharuddin untuk digantikan dengan Mohamad Sabu. 

Kenyataan-kenyataan kontroversi Mohd Sabu ‘memeningkan’ kepala beberapa pemimpin PAS dan majoriti senyap dalam PAS mula menyuarakan tidak puas hati mereka terhadap perjalanan parti, termasuk dalam isu Kalimah Allah dan perbuatan memperlekehkan agama Islam, Raja-Raja Melayu serta kaum Bumiputera. 

Pada Multaqa Ulamak Se-Malaysia bertemakan Multaqa Ulamak Se-Malaysia ‘Ulamak Haraki Benteng Izzah Islam’ semalam, penekanan ialah hala tuju ulama haraki PAS dalam memperjuangkan Islam sebagai pemimpin politik dan cabaran serta keyakinan dalam menegakkan Islam.


Untuk lebih jelas, pada Multaqa Ulamak Se-Malaysia yang bersidang semalam (14 September 2013), diperturunkan beberapa resolusi yang terkandung di dalam ucaptama dan perbahasan seperti berikut untuk tatapan pembaca:

1- Ulamak Haraki hendaklah memposisikan diri mereka dengan lebih berkesan sebagai pemimpin politik yang menyambung tugas para nabi-nabi. Mereka hendaklah memahami tentang cabaran semasa dan mempertingkatkan keyakinan terhadap Allah bagi menegakkan Islam.

2- Multaqa Ulamak Se-Malaysia juga mengajak para ulamak haraki PAS bagi melakukan pengukuhan gerak kerja, antaranya: i- mengukuhkan gerak kerja tarbiyah ii- mengukuhkan kedudukan kepimpinan ulamak yang menjadi tunjang utama kepada PAS iii-memperkasakan ilmu pengurusan dan kepimpinan.

3- Multaqa Ulamak Se-Malaysia mengambil ketetapan untuk bersama-sama menangani dan menghadapi pemikiran yang merosakkan (haddamah) dengan pelbagai usaha dan pendekatan supaya umat Islam tidak tersasar dari asas Islam.

4- Multaqa Ulamak Se-Malaysia mengambil ketetapan mencadangkan kepada PAS Pusat supaya melakukan analisis yang menyeluruh dan telus serta mengemukakan analisa bagi tujuan untuk menilai prestasi PRU13 untuk lonjakan PRU14.

5- Multaqa Ulamak Se-Malaysia turut mencadangkan supaya Tahaaluf Siyaasi bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat khususnya PKR disemak semula oleh Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat melalui kuasa yang ada bagi tujuan menjaga maslahah dan membendung serta menghalang mafsadah Syar'iyyah.

6- Multaqa Ulamak Se-Malaysia menyarankan kepada semua kerajaan negeri di bawah PR supaya memberi ruang yang munasabah dan bersesuaian kepada ulama haraki PAS yang berkelayakan supaya dapat melibatkan diri mereka di dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan.

7- Multaqa Ulamak Se-Malaysia menerima saranan daripada wakil-wakil perbahasan untuk menegaskan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS sewajarnya daripada kalangan ulama yang memahami dan faqih tentang islam dan realiti semasa. Jawatan-jawatan lain termasuk naib-naib presiden juga turut perlu dipertimbangkan daripada kalangan ulama dengan gandingan bersama golongan profesional dan aktivis.

8. Multaqa Ulamak Se-Malaysia menyeru kepada seluruh ulamak haraki PAS supaya bersiap sedia untuk mengukuhkan kedudukan dan memainkan peranan masing-masing dalam usaha mencapai kemenangan dalam PRU14 ke arah perlaksanaan Islam yang syumul di Malaysia.

Kita tidak pasti sejauh mana berkesannya saranan Dr Harun supaya PAS mengkaji semula kerjasama dengan sekutu pembangkangnya akan mendapat sokongan ahli PAS namun, cadangan supaya kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat – Selangor dan Pulau Pinang, kecuali Kelantan - memberikan ruang yang munasabah dan sesuai kepada golongan ulamak untuk turut serta dalam kepimpinan dan pengurusan kerajaan negeri rasanya tidak akan ke mana-mana.

Rakyat Islam, Melayu dan Bumiputera selain bukan Islam dalam pakatan pembangkang sedang memerhatikan PAS. Apakah PAS akan berubah untuk sokongan Melayu dan Bumiputera atau kekal sebagai parti yang ‘ikut telunjuk DAP dan PKR” akan kita ketahui November ini!

Sumber – Bernama, Hakarahdaily Online & Sinar Harian