Saturday, May 28, 2016

PRESIDEN MCA AKAN LETAK JAWATAN – BN SEDANG BERGOLAK GARA-GARA RUU

"Saya cuba untuk menghentikannya. Saya cuba mendapatkan semua parti komponen untuk menghentikannya...jika kita tidak boleh melakukannya, kita perlu berkorban. Saya akan letak jawatan.”

Tidak Serius Ker Ni?

Mahu nafi, nafilah. Tetapi Barisan Nasional (BN) kini memang sedang bergolak.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau akan meletakkan jawatan jika Rang Undang-Undang Persendiraan PAS (RUU) diluluskan.

Sikap MCA ini amat jelas. Mereka tidak berganjak selain konsisten dengan keputusan semalam.

Apakah ini memberi isyarat bahawa RUU berdepan masalah untuk diluluskan dan kegembiraan PAS sehari dua ini akan menjadi duka menjelang beberapa buan akan datang?

Ternyata sokongan Putrajaya kepada Presiden PAS dalam pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian mengenai hudud di Parlimen telah menghangatkan suhu politik negara.

Walaupun hanya empat daripada parti BN yang hadir menentang RUU semalam ekoran ketergesaan dalam memanggil sidang akhbar tersebut, namun, usaha-usaha untuk mengembleng tenaga di kalangan parti-parti lain dalam BN bagi menentang hudud telah berjalan.

"Ini bukan hanya MCA, kami berpakat dengan komponen parti lain untuk menyatakan pendirian (menentang hudud)," katanya.

Bagaimana Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh kata memuji MCA yang dikatakan lebih baik daripada DAP?


Malam semalam dalam sidang media selepas mengumumkan calon pilihan raya kecil Sungai Besar di Markaz PAS Simpang 5, Sungai Besar, Selangor, Hadi menyatakan rasa kecewanya terhadap DAP apabila parti itu bertindak mengkritik rang undang-undang persendirian yang dibentangkannya di Dewan Rakyat, kelmarin (26 Mei 2016).

Sebaliknya, Abdul Hadi yang juga anggota parlimen Marang itu mendakwa MCA dan MIC  - dua parti komponen BN yang didominasi bukan Islam - lebih faham akan undang-undang tersebut.

"Sepatutnya orang bukan Islam tidak campur tangan dalam urusan (rang undang-undang) ini. Saya lihat MIC dan MCA lebih faham dan DAP pula tidak faham, ia sangat mendukacitakan. AMANAH (Parti Amanah Negara) yang ditubuh dengan begitu rupa tidak tahu sempadan orang Islam."Ini bukan permainan politik, ini tanggungjawab agama," kata Hadi.

Kenyataan Liow hari ini nyata sekali menggambarkan bahawa apa yang cuba diperjelaskan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Najib Razak sudah ‘tidak boleh mempengaruhi’ atau ‘dimakan’ oleh MCA.

Semalam Najib pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).meminta supaya parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak salah faham mengenai RUU  berkaitan hudud yang akan dibentangkan di Parlimen, Oktober nanti.


Perdana Menteri berkata, peruntukan yang akan dibentangkan Presiden PAS itu bukan pindaan undang-undang hudud.

"Kita sudah beritahu rakan-rakan dalam Barisan Nasional, ada salah faham besar bila Datuk Seri Hadi Awang bawakan RUU Persendirian itu mereka pandang bahawa dia bawa undang-undang hudud. Label dan kaitan itu terlalu rapat dengan soal hudud, bila dia (Abdul Hadi) bangkit tu kira automatik hudud. Saya nak terangkan bahawa pindaan tersebut tidak merupakan undang-undang hudud," katanya.

Bagaimana dengan tindakan selanjutnya oleh MIC, Gerakan dan SUPP selepas ini?  Kita tunggu pandangan mereka.

Liow menegaskan hari ini, beliau akan letak jawatan daripada Kabinet jika RRU (PAS) diluluskan di Parlimen. (Beliau menyebut RUU PAS)

Malah beliau bertegas: "Saya cuba untuk menghentikannya. Saya cuba mendapatkan semua parti komponen untuk menghentikannya. Saya menggesa kedua-dua belah pihak agar bersama menyekat Rang Undang-Undang ini."

Malah menurutnya, sekiranya gagal menyekat RUU diluluskan, beliau akan berkorban.

“Saya akan letak jawatan. Kamu tahu, tidak ada gunanya saya berada di sini. Saya perlu memastikan perkara ini.  Saya terlintas untuk memberitahu perkara ini pada sidang media semalam (Jumaat), " jelas Liow kepada The Star.

Menteri Pengangkutan itu berharap ia mendapat sokongan daripada kedua-dua parti untuk tidak mengundi RUU seperti yang diusulkan oleh Hadi.

Semalam, Timbalan Pengerusi MCA Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong meletak jawatan daripada parti itu sebagai bantahan susulan usul persendirian Rang Undang-Undang (RUU) mengenai hudud dibentangkan di Parlimen.

"Saya mengumumkan bahawa saya keluar daripada MCA sehingga isu ini berubah haluan," kata Dr Leong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun pada sidang akhbar di Sungai Petani semalam.

Beliau menyerahkan kepada Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah untuk membuat keputusan mengenai kedudukan sebagai exco.

Mengenai kedudukan MCA dalam Barisan jika RUU dibahas dan diluluskan, Liow yakin pihak parti akan kekal dengan apa yang ditetapkan.

"Saya belum berbincang lagi mengenainya (MCA dalam Barisan). Kita perlu berbincang berdasarkan semangat Barisan dan menggunakannya untuk menyekat RUU ini.

Bagi Liow, apa pun beliau berharap MCA perlu terus (dalam Barisan). Tetapi beliau bersedia untuk meninggalkan Kabinet.


“Saya tidak bimbang dengan apa yang saya katakan ini," kata Liow. 

No comments:

Post a Comment