Friday, June 24, 2016

PILIHAN RAYA UMUM - APAKAH BN, 'KABINET PRU-14' SUDAH BERSEDIA?


"Apakah Najib mahu kekal dengan anggota Kabinet sekarang yang dianggap menyimpan deadwood, atau muka baru yang lebih segar sama ada Ketua Bahagian UMNO yang menjadi Anggota Parlimen atau lantikan terus sebagai Senator demi bersuara dan mempertahankannya dalam apa juga keadaan?

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ditanya pemberita di kawasan Parlimen Pekan  memberitahu pemberita bahawa pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan diadakan selepas sambutan Aidilfitri.

Berikutan kemenangan besar BN pada pilihan raya kecil berkembar, Sabtu lalu, spekulasi kini bertiup kencang bahawa akan membubarkan Dewan Rakyat bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan bagi mengukuhkan kedudukannya.

Malah Najib berkata, terdapat banyak keraguan yang ditimbulkan terhadap beliau tetapi semua ini telah dijawab pada dua pilihan raya kecil lalu. “Rakyat tahu parti mana yang boleh menjaga kepentingan mereka. Rakyat boleh membuat keputusan sendiri," katanya.

Persoalannya juga apakah Barisan Nasional (BN) dan seluruh anggota Kabinetnya sudah bersedia? Tidakkah perlu dibuat pengubahsuaian anggota Kabinet ke arah ‘Kabinet Pru-14’ bersesuaian dengan kedudukan dan mood rakyat ketika ini?

Isu sama ada PRU-14 wajar dipercepatkan atau ditunggu dahulu mendapat berbagai reaksi, namun kata-kata Tun Musa Hitam sangat menarik.

Beliau ibaratkan kemenangan BN di dua pilihan raya kecil parlimen (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar) ibarat ‘stereka sedang panas’, jadi gunakan dia untuk menggosok.

Apabila sudah sejuk, pembangkang akan kembali bersatu dan BN akan hadapi masalah.

Mengenai pilihan raya selepas Hari Raya ini, Perdana Menteri berkata beliau tidak tahu sambutan Hari Raya pada tahun bila yang dirujuknya.

"Saya hanya boleh berkata pilihan raya umum akan diadakan selepas Aidilfitri. Tetapi Hari Raya tahun bila, saya tidak tahu," katanya yang dipetik akhbar berbahasa Cina,  Nanyang Siang Pau.

Jelas kini Najib amat yakin kepimpinannya diterima kerana walaupun diserang, khususnya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, ‘kami menang’, kata seorang menteri kanan.

Najib bersuara mengenai pilihan raya berdasarkan keputusan pilihan raya kecil baru-baru ini yang menunjukkan bahawa rakyat menaruh keyakinan terhadap pentadbiran BN, walaupun terdapat kempen untuk menentangnya.

BN menerima peningkatan undi yang ketara di pusat daerah mengundi yang dilawat oleh Dr Mahathir.

“Kita kini sudah pulih daripada isu pemecatan Muhyiddin dan Shafie," kata pembantu Najin merujuk kepada pengguguran bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri Kabinet, Datuk Seri Mohd  Shafie Apdal kerana mempersoalkan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Kerana itu, saya amat yakin isu ini akan turut disentuh dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO (MT) hari ini, selain isu pelantikan memenuhi kekosongan dalam Kabinet akibat perletakan jawatan seorang Menteri dan seorang timbalan menteri yang terbunuh kerana kemalangan helikopter di Sarawak.

Cuma mungkin jika terpaksa ditangguhkan hasrat itu ialah kerana Najib dan MT terpaksa menilai beberapa isu. Ini termasuk isu rakyat seperti kedudukan ekonomi negara yang kurang baik GST yang dikatakan mabawa ancaman kemakmuran kehidupan rakyat.

Juga ada kebimbangan isu 1MDB walaupun tidak terkesan pada pilihan raya negeri Sarawak dan di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, namun di bandar-bandar, maklumat melalui media sosial mungkin mendatangkan kesan.

Sisasatan antarabangsa terhadap 1MDB dalam pelbagai perkara termasuk oleh Pihak Berkuasa Kewangan (MAS)  di negara jiran yang sedang berlangsung akan menyulitkan Najib dan BN.


Satu lagi, apakah BN sudah bersedia dalam konteks kewangan. Berdasarkan kenyataan adiknya sendiri,  Datuk Seri Nazir Razak sebelum ini, BN memerlukan wang yang banyak.

Pada April, Nazir yang juga Pengerusi CIMB berkata beliau membantu untuk menyalurkan AS$7 juta (RM28 juta pada nilai sekarang) pada PRU-13. Itu melalui CIMB sahaja.

Bagaimana dengan peruntukan lain melalui parti, calon-calon, Bn Negeri atau apa-apa caralah...

Kali ini jumlah itu pasti akan melambung dengan sebab-sebab yang Najib dan BN sahaja tahu!

Lagipun, PRU-14 adalah kali kedua untuk Najib dan pastinya beliau mahu memperbaiki keputusan pilihan raya untuk memperteguhkan kedudukannya dan BN.

Pada 2013, BN kalah dari undi popular kerana hanya mendapat  47 peratus daripada keseluruhan undi dengan 51 peratus berpihak kepada pembangkang. BN menang hanya 133 kerusi daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, namun merampas kembali Kedah dan Perak daripada Pakatan Rakyat.

Dalam isu Kabinet pula, sahabat saya Diy Putra (Datuk Ibrahim Yahya) berkata dalam Facebooknya pada malam 22 Jun lalu dalam bentuk soalan “Rombakan kabinet...YB baru disenaraikan?

“Timbalan Menteri naik pangkat? Seorang Senator baru turut disenaraikan? Jangan pm saya nakkan jawapan. PM saja yang tahu.”

Walaupun tidak menunjukkan sebarang komitmen, namun berasaskan kedudukannya yang rapat dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, saya beranggapan beliau bukan bercakap ‘main-main’.

Mengenali Diy Putra sejak di era Berita Harian awal 1980-an, saya amat yakin ada yang benar pada kata-katanya, walaupun Kementerian Penerangan pada 14 Jun lalu mengatakan tidak akan ada rombakan Kabinet.

Menurut kenyataan Kementerian Penerangan, “Spekulasi yang tersebar dalam twitter dan blog tertentu semalam, mencetuskan kekalutan pihak media yang cuba mendapatkan pengesahan beliau. Malah turut disebut - dua timbalan menteri akan dinaikkan pangkat, manakala seorang ketua parti politik, akan dilantik sebagai menteri.

“Menurut Perdana Menteri, rombakan kabinet boleh diadakan pada bila-bila masa, atau pun tidak diadakan langsung.”

Kenyataan Kementerian Penerangan itu bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri pada 14 Mei 2016, yang memetik beliau sebagai sudah bersedia melakukan rombakan kabinet dalam masa terdekat ekoran peletakan jawatan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Berbagai spekulasi dibuat terutamanya selepas ada penentangan beberapa menteri dan timbalan menteri dalam isu pembentangan usul Rang Undang-Undang Persendirian (RUU355) memperkasakan mahkamah Syariah, termasuk oleh pemimpin parti komponen BN dari Sarawak dan Sabah.

Apapun, pelantikan mahupun pengguguran menteri dan timbalan menteri adalah prerogetif (kuasa mutlak) Perdana Menteri.

Cumanya, apakah Najib mahu kekal dengan anggota Kabinet sekarang yang dianggap oleh sesetengah pengkritik sebagai turut menyimpan deadwood, selain ramai yang  hanya mendiamkan diri dan tidak membantu Najib apabila diserang bertalu-talu.

Tidakkah Najib memerlukan muka baru yang lebih segar dalam Kabinet  - sama ada daripada kalangan Ketua Bahagian UMNO yang menjadi Anggota Parlimen atau lantikan terus sebagai Senator untuk menganggotai Kabinet agar bersuara dan mempertahankannya dalam apa juga keadaan?


Apakah Najib tidak mahu Kabinet PRU-14 yang akan bekerja bukan sahaja menjamin BN menang besar tetapi juga mengekal dan memperteguhkan kuasa dan kedudukannya?